KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenal pasti kebanyakan pakej membuat lesen memandu dijalankan secara berleluasa di media sosial, didapati menawarkan lesen tidak sah.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Pengurusan), M. Janagarajan berkata, lesen memandu yang diperoleh melalui tawaran di sosial media kebanyakannya tidak sah selain maklumat pemegang syarikat juga tidak wujud dalam pangkalan data JPJ.
Menurutnya, modus operandi sindiket itu dikesan apabila mereka mengiklankan tawaran lesen memandu di media sosial malah turut mendakwa ia merupakan lesen yang sah.
“Kebanyakan mangsa tertipu selepas mereka membuat pembayaran kepada sindiket tersebut. Mangsa akan mendapat lesen palsu atau lebih malang akaun media sosial yang dikendalikan oleh pihak sindiket itu terus ditutup selepas mereka menerima bayaran.
“Sehubungan itu, JPJ telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mungkin dalam sebulan atau dua bulan kita akan dapat hasilnya,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Pembangunan Pasukan Kepada Jurupandu Perkhidmatan Bas Ekspres Konsortium E-Mutiara Berhad di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Janagarajan, ramai yang sudah tertipu dengan sindiket pemalsuan lesen memandu di laman sosial dan JPJ telah mengambil banyak tindakan dalam menangani kegiatan berkenaan.
Katanya, orang ramai disarankan agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak mudah tertipu dengan tawaran membuat lesen memandu tidak sah yang berleluasa di media sosial ketika ini. – KOSMO! ONLINE