KUALA LUMPUR – Harga sayur yang naik mendadak kebelakangan ini telah memberi tekanan kepada peniaga yang khuatir stok yang diambil daripada pemborong itu tidak akan laku.
Kenaikan harga sehingga 50 peratus itu akan menyebabkan orang ramai terpaksa berfikir banyak kali untuk membelinya.
Cuaca yang tidak menentu kerana musim Monsun Timur Laut (MTL) didakwa menjadi punca harga sayur-sayuran naik mendadak ketika ini.
Seorang peniaga sayur-sayuran di Pasar Chow Kit di sini, yang mahu dikenali sebagai Ah Seng, 66, berkata, harga sayur di kedainya sudah sebulan naik berikutan pemborong menjual kepadanya dengan harga yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Katanya, bekalan sayur yang diperoleh dari Perak, Johor dan Pahang pada penghujung tahun lalu tiada masalah, namun kini susah untuk diperoleh ditambah dengan kualiti sayur yang dilihat seperti tidak boleh dijual.
“Boleh katakan dahulu sayur saya dapat segar-segar, sekarang tidak sesegar dahulu, mungkin sebab cuaca,” jelasnya.
“Memang berlaku kenaikan harga sayur ketika ini, kualiti sayur juga sangat teruk, seperti tidak boleh dijual, pelanggan juga tidak mahu beli disebabkan mahal dan tiada kualiti,” jelasnya.
Tambah Ah Seng, dahulu daun sup dibeli sekitar RM5, kini mencecah hingga RM18 bagi sekilogram (kg).
Selain itu, katanya, sayur yang mendapat permintaan ramai seperti sawi sebelum ini RM5 kini mencecah RM6 bagi 1 kg.
“Bukan saya mahu kaut untung lebih tetapi dari pemborong sendiri jual kepada kami dengan harga yang mahal, macam saya hanya untung sekitar 20 sen sahaja, itu pun pelanggan susah nak beli,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Bagi, peniaga sayur S. Matavan, 53, berkata, harga sayur-sayuran ketika ini terlalu mahal untuk dijual kepada pelanggan seperti bendi RM8 bagi 1 kg, kacang panjang (RM12), tomato (RM10).
“Ramai pelanggan mengeluh terutama tomato dari harga RM3 kepada RM20. Agak-agak logik tak untuk pelanggan beli?
“Ramai yang datang bertanya harga, disebabkan terlalu mahal, jadi mereka pergi sahaja tanpa membeli sayur-sayuran di gerai kami,” keluhnya.