LIVERPOOL – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta enggan melatah sebaliknya mempertahankan para pemainnya walaupun dipalit kekalahan mengejut 0-1 kepada Everton di Goodison Park, kelmarin.
Gol tunggal daripada James Tarkowski memastikan permulaan positif buat pengendali baharu The Toffees, Sean Dyche yang dilantik bagi menggantikan Frank Lampard sekaligus beri sinar untuk keluar daripada zon bahaya.
Ia adalah kekalahan pertama The Gunners dalam tempoh empat bulan selepas kali terakhir mereka tewas 1-3 kepada Manchester United pada 4 September tahun lalu.
“Adalah senang untuk saya berada bersama pemain ketika kami catatkan kemenangan atau pun perlawanan berjaya berakhir dengan baik. Tetapi, saya mahu pasukan ini tahu betapa saya sayangkan mereka dan perasaan itu kini sudah pun bertambah.
“Situasi seperti inilah yang menjadikan saya bertambah sayang kepada mereka dan kami akan kekal bersatu. Perjalanan kami cukup sukar, mencabar dan pastinya ada halangan yang perlu kami lepasi.
“Jadi, sekarang kami perlu terus melakukan persiapan dan pastikan emosi serta semangat pemain berada pada tahap terbaik sebelum hadapi Brentford, Sabtu ini,” katanya.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak beri kesan besar kepada The Gunners dan kini masih lagi akan kekal memimpin carta Liga Perdana Inggeris dengan 50 mata selepas harungi 20 perlawanan.
Pemain baharu, Jorginho yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua juga gagal menghadirkan impak lebih besar buat Arsenal dan Arteta merasakan Everton sememangnya berhak untuk raih tiga mata. – AGENSI