PARIS – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Christophe Galtier mendedahkan, beliau meminta pemain-pemainnya ‘bermain untuk Lionel Messi’ ketika menang 2-1 ke atas Toulouse dalam saingan Ligue 1 Perancis di Stadium Parc des Princes awal pagi semalam.
Beraksi tanpa kelibat Neymar dan Kylian Mbappe, Messi menjadi satu-satunya pemain harapan PSG pada perlawanan itu apabila meledak satu jaringan sementara satu gol lagi dijaringkan Achraf Hakimi.
Galtier mengakui, dia memberi kebebasan kepada Messi untuk tidak terlibat ketika bertahan memandangkan tenaganya diperlukan semasa pasukan melancarkan serangan ke arah pintu gol lawan.
“Lionel Messi boleh dianggap enjin penting dalam pasukan, terutamanya dengan gol serta situasi yang dicipta. Memang benar saya minta pasukan bermain untuk Messi dan mengecualikan dia daripada tugas tertentu.
“Justeru, pemain-pemain lain perlu menggandakan usaha untuk kembali memenangi bola supaya Messi dapat menggunakan kemahiran yang dimiliki ketika mengasak benteng pertahanan lawan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga gembira dengan kebangkitan yang ditampilkan barisan pemainnya biarpun ketinggalan 0-1 menerusi jaringan dilakukan Branco Van Den Boomen pada minit ke-20 selain kecederaan menimpa Renato Sanches.
“Kami bermula agak sukar hari ini (semalam) terutamanya selepas Renato (Sanches) cedera. Saya tahu Toulouse sangat berbahaya ketika situasi bola mati, jadi saya gembira kerana pemain-pemain PSG berjaya mengurangkan risiko itu,” ujar Galtier. – AGENSI