KLANG – Seorang lelaki warga emas terselamat daripada rentung dalam kebakaran di rumah kedai di Jalan Bendahara, Sentosa Utama, hari ini.
Dalam kejadian tersebut, mangsa dikenali Quek Chang Kang,66, yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) cedera di muka dan lengan sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, lima anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 1.56 tengah hari.
Katanya, kebakaran hanya melibatkan sofa di ruang tamu dah telah dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba kira-kira pukul 2.04 petang.
“Bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang juga OKU dan membuat pemeriksaan bagi memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya. Semasa kejadian, mangsa hanya tinggal seorang diri di rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. -KOSMO!ONLINE