PETALING JAYA – Penyanyi Sufian Suhaimi menafikan dirinya adalah lelaki yang dikatakan bakal mendirikan rumah tangga dengan pelakon popular, Jasmine Suraya.
Sufian, 31, berkata, hubungannya dengan wanita itu masih baik dan mereka kekal berhubung sehingga sekarang sama seperti sebelum ini.
“Masih baik. Masih macam dulu sebenarnya. Malah, kami ada sahaja berhubung. Kadang-kadang ada berjumpa juga.
“Cuma, saya dan Jasmine takda apa-apa hubungan romantik. Kami selesa berkawan dan juga, apa yang berlaku dalam sosial media dia nak berkahwin, saya juga tertarik nak tahu.
“Tapi, dia pun seorang yang sangat berahsia (ketawa). Bukan kasut saya namun apa-apa pun, saya doakan yang terbaik buat dia. Kalau betul dia nak kahwin, saya tumpang gembira dan alhamdulillah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sufian berkata demikian ketika ditanya tentang perkongsian Jasmine atau nama sebenarnya, Jasmine Suraya Chin Xian Mei memuat naik sekeping foto memaparkan sepasang kasut lelaki dan perempuan yang disunting menggunakan rona hitam putih pada tahun lalu.
Perkongsian tersebut seperti menandakan hari bahagianya semakin dekat.
Bagaimanapun tidak lama selepas itu, pelakon Ratu Tenpin itu menjelaskan bahawa foto tersebut cuma bahan promosi untuk produk jeruk yang diusahakannya.
Ditanya tentang sama ada dirinya bosan sering ditanya soalan berhubung bila akan menamatkan zaman bujang, jawab pelantun lagu Di Matamu itu: “Lumrahlah kot bila orang nak tahu tentang perkembangan bukan hanya kerjaya tapi berkaitan peribadi juga.
“Maksudnya, saya bersyukur ada orang masih nak tahu lagi pasal saya. Terima kasih sangat-sangat sebab ambil berat.”
Sungguhpun begitu, Sufian tidak menafikan sekarang dirinya sedang mengenali hati budi seorang wanita istimewa yang enggan didedahkan identitinya.
“Saya bukan orang yang suka berkongsi peribadi tapi saya juga tak berahsia.
“Kalau ada jemputan, insya-Allah memang saya nak kahwin tapi cuma buat masa sekarang, tak adalah macam saya nak jaja cerita hubungan saya. Sebab fokus saya sekarang kerjaya, bisnes muzik dan industri hiburan.
“Tentang wanita yang saya sedang kenali, dia dah habis belajar. Usia dia dalam 20-an. Itu sahaja saya boleh kongsi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE