LONDON – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola masih menaruh keyakinan pasukannya mampu mengatasi ketiadaan Joao Cancelo selepas bintang dari Portugal itu melengkapkan perpindahan mengejut ke Bayern Munich secara pinjaman.
Sebelum ini, Cancelo menyerlahkan keupayaan apabila sering jadi taruhan di barisan belakang, namun sejak kembali daripada kempen Piala Dunia, Guardiola seakan lebih cenderung mempertaruhkan Kyle Walker, Nathan Ake, John Stones dan pemain muda, Rico Lewis.
Bagaimanapun, menjelang pertemuan dengan Tottenham awal pagi esok, The Citizens bakal hilang khidmat Stones yang alami hamstring dan memaksanya berehat selama tiga minggu.
Mengulas situasi ketika ini, Guardiola kekal positif dan tidak berasa bimbang dengan keadaan semasa termasuk Cancelo.
“Pertama sekali, saya ucapkan selamat maju jaya kepada Cancelo di Bayern dan musim depan saya sendiri pun belum tahu apa akan berlaku. Selepas Piala Dunia, kami mengharungi pramusim dan memutuskan untuk bermain dengan corak berbeza.
“Saya cukup suka untuk melihat keadaan sekarang kerana sudah berikan minit permainan kepada pemain lain. Dia (Cancelo) perlukan minit permainan untuk berasa gembira dan sebab itu kami putuskan untuk biarkan dia ke Bayern Munich.
“Dia mahu bermain dalam setiap perlawanan dan berharap dia mampu melakukannya di sana. Jika Bayern Munich mahukannya, ia adalah disebabkan dia adalah pemain yang hebat.
“Saya tidak katakan sesuatu yang buruk, semua orang tahu tentang etika kerja, kesungguhan dan kemahirannya,” katanya.
Ahli Lembaga Pengarah Bayern Munich, Hasan Salihamidzic turut mengesahkan perjanjian kedua-dua kelab turut memasukkan klausa perpindahan secara tetap dengan nilai €70 juta (RM322.8 juta).
Cancelo sudah pun mendapatkan debut bersama Bayern Munich ketika menewaskan Mainz 4-0 dalam aksi Piala Jerman, awal pagi Khamis lalu malah turut menyumbangkan satu bantuan jaringan ketika The Bavarians membuka jaringan pada minit ke-17. – AGENSI