ORLANDO – Seorang wanita yang mendapati suaminya menjalin hubungan sulit selama tiga setengah tahun mendedahkan bagaimana dia memutuskan untuk memaafkan teman hidupnya itu, lapor portal berita MailOnline semalam.
Menurut Alexandrea Acevedo, 26, dari Orlando, Florida, dia bertindak demikian kerana tidak mahu meninggalkan suaminya yang mengalami sisi gelap dalam kehidupan.
Pada mulanya, wanita berkenaan gelisah selepas mengetahui suami yang dikahwini selama lima tahun, Michael, 31, tidak setia untuk sebahagian besar perkahwinan mereka.
Ibu kepada tiga anak itu mengetahui penipuan suami apabila melihat mesej teman hidupnya itu kepada kekasih gelap di telefon bimbit pada Disember tahun lalu.
Namun, selepas mengaku kecurangannya dan meninggalkan rumah keluarga selama seminggu, Michael yang gemar minum arak dan berjudi akhirnya sedar bahawa dia perlu membuat perubahan dalam hidupnya.
Alexandrea berkata, suaminya kemudian mendapatkan rawatan terapi dan berusaha memperbaiki perkahwinan mereka sekali gus mendorong wanita tersebut untuk memberinya peluang kedua dan meneruskan rumah tangga mereka. – Agensi