HONOLULU, HAWAII – Sekumpulan pakar astronomi menemui 12 bulan baharu di sekitar planet Musytari, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 92 bulan, lapor akhbar New York Post.
Jumlah bulan itu melebihi yang ada pada mana-mana planet lain dalam Sistem Suria. Planet Zuhal menduduki tempat kedua dengan 83 bulan yang disahkan.
Kiraan bulan itu baru-baru ini ditambah ke dalam senarai yang diterajui oleh Pusat Planet Kecil Kesatuan Astronomi Antarabangsa, kata Scott Sheppard dari Institut Carnagie yang merupakan sebahagian daripada pasukan itu.
Bulan itu dikesan menggunakan teleskop di Hawaii dan Chile pada 2021 dan 2022, manakala orbitnya disahkan melalui pemerhatian susulan.
Saiz bulan baharu itu dicatatkan antara 1 hingga 3 kilometer (km), tambah Sheppard.
“Saya harap kita dapat menggambarkan salah satu bulan ini pada jarak dekat dalam masa terdekat untuk menentukan dengan lebih baik asal-usulnya,” kata Sheppard menerusi e-mel.
Pada April ini, Agensi Angkasa Eropah akan menghantar kapal angkasa ke Musytari untuk mengkaji planet itu dan beberapa bulan berais yang terbesar.
Pada tahun depan, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pula akan melancarkan misi Europa Clipper untuk meneroka bulan di Musytari.
Sheppard yang menemui sekumpulan bulan di sekitar planet Zuhal beberapa tahun yang lalu telah mengambil bahagian dalam 70 penemuan bulan di sekitar Musytari setakat ini. Beliau menjangka akan terus menemui bulan baharu di sekeliling dua planet itu. – Agensi