fbpx

Bot karam, nelayan Thailand terapung 10 jam di tengah laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayaki menadah tangan tanda syukur apabila selamat dalam kejadian bot karam kira-kira 16 batu nautika dari Pengkalan Petah, Bachok semalam. -Foto oleh TOREK SULONG

BACHOK – Seorang nelayan warga Thailand berdepan detik cemas apabila hanya mampu terapung selama hampir 10 jam ditengah lautan selepas bot api suar yang dikendalikannya karam kira-kira 16 batu nautika dari Pengkalan Petah di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, mangsa, Mayaki Mat Ming, 37, yang bekerja selama lima tahun dengan syarikat bot tempatan sempat berpaut pada pelampung gabus dan penutup tong ikan sebelum diselamatkan nelayan lain kira-kira pukul 6 petang.

Menceritakan semula detik kejadian, Mayaki berkata, dia yang mengemudi bot api suar itu seorang diri terkejut apabila botnya mula tenggelam selepas dihempas ombak besar setinggi empat meter semasa hujan lebat.

Menurutnya, sebelum bot karam, dia sempat menghubungi rakan nelayan lain melalui radio komunikasi untuk meminta bantuan apabila melihat keadaan bot yang semakin tenggelam.

“Saya sempat berpaut pada pelampung gabus dan penutup tong ikan sebelum cuba berenang ke arah pulau berhampiran, namun gagal apabila laut sangat bergelora ketika itu.

“Saya tiada pilihan lain apabila hanya mampu reda dan menunggu bantuan bot lain. Saya hanya fikir tentang kematian selain isteri dan anak-anak yang berusia dua hingga 13 tahun di Pattani, Thailand,” katanya ketika ditemui pemberita di Pengkalan Petah di sini hari ini.

Menurut Mayaki, selepas hampir 10 jam, sebuah bot datang ke arahnya selepas melihat dia melambai tangan sebelum diselamatkan oleh bot nelayan tersebut.

Katanya, dia bersyukur selepas diberikan rezeki untuk terus hidup dan masih belum percaya apabila berjaya selamat meskipun berada di tengah lautan dalam tempoh yang lama.

Sementara itu, pengurus syarikat bot api suar, Jarhan Norzailan, 27, Mayaki dibawa ke pengkalan Tok Bali kira-kira pukul 10 malam tadi selepas ditemui kira-kira pukul 6 petang sebelum dihantar ke sebuah klinik swasta untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

“Meskipun syarikat mengalami kerugian kira-kira RM100,000 apabila sebuah bot api suar hilang, saya tetap bersyukur apabila Mayaki selamat dalam kejadian tersebut. Ini merupakan insiden pertama yang berlaku melibatkan bot karam sepanjang 10 tahun syarikat beroperasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin ketika dihubungi, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di sini malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI