fbpx

Kafe Rahmah di IPT bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin bersama Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin melawat gerai makanan pada Pelancaran Inisiatif Menu Rahmah di Pasaraya Mydin Subang Jaya, baru-baru ini. - Foto SADDAM YUSOFF

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan Kafe Rahmah pada bulan depan bagi manfaat pelajar-pelajar di universiti awam dan swasta seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kafe itu kelak akan menawarkan menu makan tengah hari secara percuma selain sarapan pagi dan makan malam pula ditawarkan dengan diskaun sehingga 50 peratus.

“Tunggu dalam masa sebulan lagi, kita akan buka pula Kafe Rahmah khusus untuk pelajar-pelajar universiti kita,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi menerusi laman Facebook, hari ini.

Berdasarkan logo dikongsi Salahuddin pada video tersebut, Kafe Rahmah akan menggunakan slogan ‘Kasih Sayang’.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, buat masa ini, pelajar universiti turut berpeluang menikmati Menu Rahmah ditawarkan di mana-mana pasar raya dan kedai mamak berhampiran mereka.

“Pelajar universiti yang berada berdekatan pasar raya Mydin atau restoran mamak boleh pergi dan cakap sahaja saya nak Menu Rahmah,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya akan memperkenalkan Program Menu Rahmah di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam masa terdekat.

Menu Rahmah, iaitu hidangan makanan pada harga RM5 dan ke bawah ditawarkan kepada golongan kurang berkemampuan, khususnya B40 bermula 31 Januari lalu.

Dalam perkembangan sama, Salahuddin berkata, beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengecilkan kuantiti dan mengabaikan kualiti serta citarasa Menu Rahmah.

“Menu Rahmah sepatutnya dilengkapi dengan sepinggan nasi, seketul ayam atau ikan dan sedikit sayur. Itu sahaja.

“KPDN juga akan mengadakan libat urus dengan persatuan makanan Cina, India dan lain-lain bagi memperluaskan Menu Rahmah untuk kaum berkenaan dalam masa terdekat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN