fbpx

Cuepacs gesa Kementerian Kewangan, Bank Negara panjangkan had tempoh bayaran pinjaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) memohon Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia meneliti untuk memanjangkan semula had tempoh bayaran pinjaman termasuk pembiayaan peribadi daripada 10 tahun kepada 20 tahun.

Pengerusinya, Datuk Adnan Mat melahirkan kebimbangan terhadap keperluan rakyat ketika ini yang terpaksa berhutang bagi meneruskan kehidupan disebabkan gaji yang tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Ujarnya, ramai rakyat Malaysia terpaksa melakukan pinjaman peribadi untuk menampung keperluan yang mendesak dan tempoh pembiayaan yang singkat iaitu maksimum 10 tahun menyebabkan ansuran bulanan menjadi tinggi sehingga menyebabkan pendapatan boleh guna peminjam itu terjejas.

“Pada tahun 2013, Bank Negara telah mengeluarkan pekeliling memendekkan tempoh pembiayaan peribadi dari 25 tahun kepada 10 tahun dan pinjaman perumahan dari 45 tahun kepada 35 tahun.

“Langkah tersebut mengakibatkan jumlah bayaran bulanan yang perlu dibayar oleh peminjam baru menjadi lebih besar sekali gus mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna mereka.

“Cuepacs berpendapat langkah Bank Negara ketika itu memberi kesan kepada pendapatan boleh guna rakyat yang mahu melakukan pinjaman apatah lagi dengan situasi harga rumah yang meningkat begitu drastik pada waktu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, tegas Adnan Mat, langkah memanjangkan semula tempoh pembiayaan wajar dilaksanakan semula ketika rakyat sedang terkesan susulan dengan peningkatan kos sara hidup serta kesa pasca Covid-19 kerana jumlah bayaran balik pinjaman akan menjadi lebih rendah.

Tambahnya, mereka yang mahu melakukan pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi untuk berniaga juga tidak begitu bimbang untuk melakukan pinjaman kerana bayaran bulanan pinjaman tersebut akan menjadi lebih rendah jika had tempoh pembiayaan dipanjangkan.

“Mana-mana rakyat yang terjejas pendapatan mereka juga boleh membuat penstrukturan semula tempoh dan bayaran bulanan kepada jumlah yang lebih dimampui sekali gus masalah kebankrapan atau muflis dapat dielakkan daripada berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adnan Mat turut berkata langkah ini secara keseluruhannya dijangka merancakkan semula ekonomi kerana pendapatan boleh guna rakyat lebih bertambah serta mengurangkan tekanan hidup rakyat.

Jelasnya, dalam masa yang sama operasi peniagaan koperasi kredit dan institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara boleh berkembang semula.

“Lebih penting adalah ia mampu memberi peluang kedua kepada rakyat yang mungkin terhimpit sehingga perlu melalui proses kebankrapan menstruktur semula kewangan mereka. Ia memberi situasi menang-menang kepada rakyat yang boleh menjalani hidup seperti biasa tanpa perlu melalui proses kebankrapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI