PETALING JAYA – Kesihatan gigi dan gusi amat penting untuk setiap orang terutama bagi golongan wanita yang sedang hamil.
Pegawai perubatan swasta, Dr. Ahmad Samhan menerusi perkongsiannya di kumpulan Telegram memaklumkan menjadi satu keperluan penting kepada golongan wanita untuk memastikan kesihatan gigi terjaga ketika mengandung.
Katanya, ramai dalam kalangan ibu mengandung sering mengalami ‘morning sickness,’ bengkak kaki, sakit belakang dan sakit kepala yang melampau.
“Situasi ini menyebabkan mereka tidak dapat menjaga kesihatan gigi dengan baik sekali gus mengundang risiko masalah gigi,” katanya.
Menurutnya, wanita hamil sering mengalami perubahan hormon iaitu peningkatan hormon estrogen dan progesteron mengakibatkan mereka sering muntah, mual, perut bergas, pedih perut, pening dan sebagainya
“Keadaan ini boleh menyebabkan plak gigi terbentuk dan menjurus kepada gigi berlubang serta sakit gigi.
“Makan dalam jumlah banyak daripada biasa mempengaruhi berat badan dan boleh mengganggu gigi serta gusi selain tidak mengamalkan cara menggosok gigi dengan teknik yang betul,” jelasnya.
Tambah lagi, terdapat beberapa masalah gigi yang sering dihadapi ibu hamil antaranya gingivitis kehamilan atau lebih dikenali sebagai radang gusi ibu hamil. – KOSMO! ONLINE