fbpx

Belanjawan 2023 utamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi berhemat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
kapsyen - Anwar (kiri) ketika mempengerusikan persidangan Jawatankuasa Dasar Fiskal hari ini. - Foto IHSAN PMO

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengambil pendekatan bertanggungjawab dalam merangka Belanjawan 2023 yang akan mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi berhemat dan pembangunan saksama berpaksikan keadilan sosial untuk rakyat.

Pejabat Perdana Menteri berkata, perkara itu ditekankan pada persidangan Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang bersidang buat kali pertama pada tahun ini walaupun kerajaan mewarisi beban hutang yang tinggi dan ekonomi berhadapan ketidaktentuan prospek ekonomi global.

“Tahun lalu, hutang dan liabiliti kerajaan hampir menjangkau RM1.5 trilion atau lebih 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nisbah khidmat hutang dijangka akan melebihi 15 peratus daripada hasil.

“Pertumbuhan global juga dijangka menyederhana pada tahun 2023 dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa prospek ekonomi dunia bakal merosot dengan kebanyakan negara dijangka mengalami kemelesetan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan itu, jawatan kuasa tersebut yang bersidang hari ini berfungsi meneliti fiskal kerajaan dan perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa sederhana yang keanggotaannya diketuai oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jawatankuasa berkenaan turut dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Ekonomi, Mohd. Rafizi Ramli; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus.

Menurutnya, belanjawan tersebut akan mencerminkan pertanggungjawaban Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan sosial selaras dengan konsep pembangunan Malaysia Madani supaya kemajuan ekonomi memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.

“Kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi selain komited untuk melaksanakan langkah mengurangkan defisit secara berperingkat serta memastikan nisbah hutang dan liabiliti kerajaan berbanding KDNK terkawal.

“Belanjawan itu juga akan turut merangkumi langkah-langkah menggalakkan pelaburan sektor swasta dan reformasi sektor awam yang bertujuan untuk mengurangkan birokrasi, meningkatkan
kemudahan menjalankan perniagaan serta menambah baik tatakeloka kerajaan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, belanjawan tersebut bakal meningkatkan perbelanjaan pembangunan bagi
menggalakkan pembangunan yang inklusif terutamanya melalui pemerkasaan perkhidmatan kerajaan dan infrastruktur luar bandar. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI