PETALING JAYA – Rata- rata ibu bapa khususnya kakitangan kerajaan tidak bersetuju jika ada perubahan sistem persekolahan bermula pukul 8 pagi berbanding 7.30 pagi sebelum ini.
Alasan diberikan adalah disebabkan ia boleh mengganggu aktiviti harian bukan sahaja ibu bapa malah mengakibatkan kesesakan jalan raya yang teruk terutama di kawasan bandar.
Di Shah Alam, Selangor, seorang bapa, Shahrizal Hamad, 44, berkata, penukaran sistem waktu sesi persekolahan akan menyukarkan terutama kepada ibu bapa yang menghantar sendiri anak-anak mereka.
Dia yang mempunyai tiga orang anak masih bersekolah berusia 8 hingga 15 tahun memaklumkan sesi persekolahan yang ada membolehkannya menghantar anak terlebih dahulu sebelum bekerja.
“Bagi kakitangan kerajaan mempunyai waktu anjal dengan selewatnya pukul 8.30 pagi. Ia jadi masalah sekiranya semua keluar pada sama akan menyebabkan jalan lebih sesak pada waktu pagi.
“Tidak dinafikan lebih kepada pengurusan masa tetapi bagi saya adalah wajar dikekalkan untuk kemudahan ibu bapa dan anak-anak,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, rakannya, Mohd. Faizal Abd. Rashid, 39, menegaskan cadangan berkenaan adalah lebih bersesuaian kepada mereka yang gunakan perkhidmatan bas atau van sekolah.
“Sekiranya ubah, saya risau jadual belajar harian akan lebih padat selain timbul masalah apabila pertukaran atau kemasukan pelajar setiap hari bagi sekolah dua sesi persekolahan.
“Kita juga bimbang waktu persekolahan akan bertambah berkemungkinan lebih sejam seterusnya menyukarkan kepada ibu bapa seperti saya untuk mengambil anak,” katanya.
Di Seberang Perai, Pulau Pinang, seorang ibu, Norliza Abdul Latiff, 40, berkata, tiada keperluan untuk tukar waktu sekolah kerana ia hanya memudahkan sesetengah ibu bapa sahaja.
“Baik ubah silibus yang terlalu advance itu dahulu daripada sibuk hendak tukar waktu persekolahan,” jelasnya.
“Sejak berpuluh-puluh tahun dahulu rasanya, sesi persekolahan dan mula antara pukul 7.30 hingga 7.40 pagi. Mengapa sekarang baru mahu tukar?” soalnya di sini semalam.
Dalam pada itu, Khairul Azhar Khairuddin, 36, turut sependapat dengan Norliza dan menyifatkan perubahan waktu persekolahan kepada pukul 8 pagi bukanlah sesuatu yang signifikan.
“Bagaimana pula dengan ibu bapa bekerja yang masuk pukul 8 pagi dan jaraknya jauh dari sekolah?,” soalnya lagi.
Berita berkaitan: Sekolah pukul 8 pagi mulakan di satu sesi dahulu