fbpx

Musa Hasahya bahagia ada 12 isteri, 102 anak dan 578 cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUSA HASAHYA bergambar di luar kediaman keluarganya di daerah Butaleja, timur Uganda pada 17 Januari lalu. -- AFP

BUTALEJA, Uganda – Musa Hasahya Kasera mempunyai terlalu ramai anak sehinggakan dia sendiri tidak dapat mengingati kebanyakan nama mereka.

Penduduk kampung di Uganda itu bergelut untuk memberi nafkah kepada keluarga besarnya termasuk 12 isteri, 102 orang anak dan 578 cucu dan dan kini berasa ‘cukup-cukuplah setakat ini’.

“Pada mulanya, saya anggap ini jenaka tetapi kini saya berdepan masalah,” kata Musa, 68, kepada agensi berita AFP di kediamannya di kampung Bugisa, daerah Butaleja, pedalaman timur Uganda.

“Dengan kesihatan yang semakin buruk dan cuma ada dua ekar tanah untuk menampung keluarga sebegini besar, dua isteri telah meninggalkan saya kerana saya tidak dapat menyediakan keperluan asas seperti makanan, pendidikan dan pakaian,” ujarnya.

Kini menganggur, Musa menjadi apa yang dikatakan sebagai tarikan pelancong di kampung-nya. Lelaki itu berkata, isteri-isterinya kini mengamalkan langkah merancang bagi mengekang keluarganya menjadi lebih besar.

Keluarga besar Musa tinggal di sebuah rumah uzur dan 12 pondok yang dibina di sekitarnya.

Dia mengahwini isteri pertamanya pada tahun 1972 dalam upacara tradisional semasa kedua-dua mereka berumur 17 tahun, manakala anak pertama mereka, Sandra Nabwire lahir setahun kemudian.

“Kerana kami cuma dua beradik, saya dinasihatkan oleh saudara lelaki saya, saudara-mara dan rakan-rakan supaya berkahwin dengan ramai isteri dan menghasilkan ramai anak untuk meluaskan warisan keluarga,” kata Musa.

Tertarik dengan statusnya ketika itu sebagai peniaga dan penyembelih lembu, Musa berkata, orang kampung menawarkan anak perempuan mereka kepadanya untuk dijadikan isteri, dengan sebilangan mereka berumur bawah 18 tahun.

Perkahwinan kanak-kanak hanya diharamkan di Uganda dalam tahun 1995, manakala poligami dibenarkan di negara Afrika Timur itu berdasarkan budaya tertentu dalam agama.

Kesemua 102 anak Musa berusia dari 10 tahun hingga 50 tahun dengan isteri paling muda berumur 35 tahun.

“Cabarannya adalah saya hanya mengingati nama anak pertama dan anak bongsu tetapi sebilangan anak lain, saya lupa nama mereka.

“Ibu-ibu mereka membantu saya untuk mengenali mereka,” katanya.

 

 

LELAKI berkenaan (tengah) berada bersama sebilangan isteri, anak dan cucunya di luar kediaman mereka. — AFP

 

 

 

Bagaimanapun, Musa juga tidak mengingati nama beberapa isterinya dan terpaksa bertanya kepada salah seorang anak lelakinya, Shaban Magino untuk tujuan itu.

Shaban merupakan seorang guru sekolah rendah yang membantu menguruskan hal ehwal keluarga dan salah seorang daripada segelintir anak Musa yang mendapat pendidikan formal.

Keluarga besar itu mengadakan pertemuan bulanan bagi menyelesaikan sebarang pertikaian yang timbul.

Seorang pegawai tempatan yang menguruskan kampung Bugisa berkata, di sebalik cabaran memiliki keluarga besar, Musa ‘membesarkan anak-anaknya dengan sangat baik’ dan tiada kes kecurian atau pergaduhan berlaku.

Kampung itu didiami sekitar 4,000 penduduk dengan kebanyakan mereka bekerjasebagai petani serta penternak.

Ramai ahli keluarga Musa cuba mencari wang atau makanan dengan melakukan tugas untuk jiran-jiran. Mereka akan keluar mencari kayu api atau air dan kerap berjalan kaki untuk jarak yang jauh.

Sebilangan ahli keluarga lain akan duduk di halaman rumah, dengan wanita menganyam tikar manakala ahli lelaki bermain kad di bawah rimbunan sebatang pokok.

Apabila makan tengah hari siap, Musa keluar dari pondoknya dan memanggil keluarganya untuk berbaris dan makan.

“Bagaimanapun, makanan yang ada cukup-cukup sahaja. Kami terpaksa memberi makan anak-anak sekali sehari atau pada hari yang beruntung, dua kali sehari,” kata isteri ketiga Musa, Zabina.

Kata Zabina, jika dia tahu Musa ada isteri lain, dia tidak akan bersetuju berkahwin dengannya.

“Walaupun selepas saya pasrah dan menerima takdir (sebagai isteri ketiga), dia membawa isteri keempat, kelima dan sampai ke-12,” tambahnya sedih.

Dua isteri Musa sudah meninggalkannya dan seorang lagi kini tinggal di bandar lain dalam jarak sekitar 2 kilometer kerana kediaman suaminya sudah terlalu sesak.

Apabila ditanya mengapa isteri-isteri lain tidak meninggalkannya, Musa berkata: “Mereka semua menyayangi saya dan anda dapat lihat bahawa mereka gembira!” – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI