PUTRAJAYA – Perenang muda negara, Magdalene Lau membuktikan dirinya sebagai permata baharu negara apabila melengkapkan dua pingat perak dalam Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) di Tasik Putrajaya.
Semalam Magdalene menamatkan aksi di tempat kedua dalam kategori lima kilometer (km) wanita 16-17 tahun dan hari ini anak jati Sarawak berusia 17 tahun itu mengulangi kejayaan sama menerusi acara 10km dengan catatan dua jam 15 minit dan 10.7 saat, dipisahkan tiga minit berbanding juara, Natwara Bovornsukseri dari Thailand (2:11:46.9).
“Pengalaman berlumba dalam acara 5km semalam memang banyak membantu saya hari ini. Saya beraksi jauh lebih baik berbanding semalam namun untuk 10km, ia pastinya lebih memenatkan.
“Satu lagi cabaran getir adalah bagaimana untuk menyelaras kelajuan kuakan supaya dapat kekal bersaing sepanjang tempoh perlumbaan. SEAOWSC akan meninggalkan kenangan manis untuk saya kerana inilah penampilan sulung, bukan sahaja dalam arena perairan terbuka, malah antarabangsa,” katanya.
Lebih membanggakan, Magdalene yang menjadikan jaguh dunia, Michael Phelps sebagai idolanya berjaya menempatkan diri di tempat ketiga dalam senarai kedudukan keseluruhan, merangkumi perenang daripada kategori 18-19 tahun dan 20 tahun ke atas.
“Saya berasa sungguh gembira untuk dapat menduduki tempat ketiga keseluruhan. Selepas berada di tangga keenam sesudah pusingan pertama, saya mula memperbaiki kedudukan sebelum membuat pecutan terakhir pada penghujung perlumbaan untuk menjadi tiga terbaik,” katanya.
Malaysia turut memungut pingat perak menerusi Chelsea Lee dalam kategori wanita 18-19 tahun dan gangsa oleh Ashley Soh dalam kategori wanita 16-17 tahun. – KOSMO! ONLINE