PETALING JAYA – Jabatan Penjara Malaysia (JPM) menggunakan bekas tapak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi mengurangkan kesesakan dan residivis di seluruh penjara termasuklah Penjara Sungai Buloh.
Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini berkata, tapak berkenaan akan digunakan sebagai Pusat Reintegrasi Penghuni dan Penjara Satelit sebagai salah satu inisiatif Reformasi Penjara.
“Antara usaha lain yang dilakukan untuk meningkatkan kapasiti dan mengurangkan kesesakan penjara adalah memasang katil bertingkat untuk kegunaan banduan di sel dan dormitori penjara.
“Kami juga akan bekerjasama dengan mahkamah bagi mempercepatkan lagi perbicaraan selain memfokuskan lagi program pemulihan dalam komuniti yang melibatkan seramai 82,487 banduan dan dengan kadar residivis hanya 0.24 peratus setakat ini,” katanya.
Tambahnya, program pemulihan dalam komuniti tersebut turut melibatkan sejumlah banduan sabitan yang ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.
Sementara itu, JPM juga sedang mengkaji penggunaan EMD kepada banduan reman berisiko rendah bagi mengelakkan mereka ditahan di penjara.
Ujarnya, melalui langkah yang telah diambil, masalah kesesakan yang dialami oleh Penjara Sungai Buloh telah dapat dikurangkan.
“Peratus lebihan jumlah banduan pada ketika ini adalah 36 peratus berbanding kapasiti maksimum 4200 banduan, iaitu tambahan 20 peratus daripada kapasiti sedia ada. Kadar ini berdasarkan ketetapan antarabangsa.
“Langkah mengurangkan kesesakan tersebut akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi yang akan turut memberi tumpuan kepada pengurangan jumlah banduan reman,” katanya. – KOSMO! ONLINE