PETALING – Seorang lelaki yang berstatus bapa mempunyai tanggungjawab besar ke atas anak-anak dan bekas isteri walaupun mereka sudah bercerai kerana perlu menyediakan wang nafkah bulanan.
Malangnya, tidak semua lelaki memahami tanggungjawab tersebut sehingga ada yang mengabaikannya walaupun tindakan itu salah di sisi undang-undang dan agama.
Menerusi perkongsian di laman sosial, seorang wanita mendedahkan bahawa bekas suaminya telah mengabaikan nafkahnya dan anak-anak mereka demi teman wanita.
Jelas wanita itu, lelaki terbabit lebih mengutamakan keperluan teman wanitanya dengan tidak mempedulikan nafkahnya dan anak-anak mereka.
Lebih malang lagi, lelaki terbabit menyuruh wanita itu mencari sendiri duit bagi menyara diri sendiri dan anak-anak mereka.
“Bayar kereta girlfriend (teman wanita) boleh, bagi duit nafkah anak-anak tak boleh.
“Dia tak tahu anak dia berapa kali demam sebab ikat perut barang dapur semua mahal,” tulisnya.
Dakwa wanita itu, lelaki berkenaan seolah-olah mahu lepas tangan dan tidak mahu melunaskan tanggungjawabnya ke atas anak-anak mereka.
Malah lelaki itu juga menyalahkan bekas isterinya kerana telah melahirkan zuriat mereka.
“Sapa suruh beranak, aku tak suruh pun,” kata lelaki tersebut pada perbualan di aplikasi WhatsApp.
Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen mengecam tindakan lelaki tersebut dan menyifatkan dia seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab.
‘Siapa suruh beranak’, jawapan dia betul-betul menyakitkan hati. Kita doakan bila dia kawin dengan teman wanita dia nanti tiada anak biar dia tahu apa itu erti menghargai,” tulis Qaseh Irdina.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Lily Omeran.
“Tetiba aku terbayang pula, kat akhirat nanti bila Allah tanya kenapa abaikan tanggungjawab terhadap anak? Agak-agak berani tak dia nak jawab “siapa suruh beranak” kat depan Allah nanti,” soalnya.-KOSMO! ONLINE