BERGELAR selebriti, perkara utama paling menjadi perhatian ialah kecantikan luaran dan fizikal yang perlu menepati standard dunia glamor.
Badan ramping bagi wanita dan kekar untuk lelaki selalu menjadi ukuran standard bagi seseorang selebriti.
Bagaimanapun, ada juga sesetengahnya yang gagal mempertahankan fizikal sempurna sehingga kehilangan bentuk badan menawan atas beberapa faktor, paling utama kerana pemakanan dan kehamilan (bagi wanita).
Atas sebab itulah, mereka juga tidak dapat lari daripada menjadi mangsa kritikan peminat gara-gara perubahan fizikal dan imej yang dilalui.
Minggu ini, Gala menyenaraikan beberapa selebriti ternama yang dahulunya popular dan dikagumi kerana kecantikan serta kekacakan mereka, namun pernah berdepan kritikan serta ejekan selepas melalui perubahan bentuk badan.
Camila Cabello
FOTO Camila Cabello pernah tular dan menjadi topik hangat apabila menampakkan perubahan fizikal yang sangat ketara.
Dia sebelum ini memiliki fizikal yang sempurna, ramping meskipun tidaklah sekurus orang lain. Sekitar 2021, peminat mendapati bentuk badannya berubah mendadak dan kelihatan gemuk.
Lebih-lebih selepas tular banyak foto penyanyi Havana itu bercuti di laut dengan memakai bikini sehingga menampakkan dengan jelas bentuk badannya yang berubah.
Ada yang menebak, faktor fizikal menjadi penyebab perpisahannya dengan Shawn Mendes. Penyanyi Stitch itu didakwa hilang minat terhadap Camila selepas dia menjadi gemuk sejak pandemik.
Leonardo DiCaprio
PERNAH menjadi buah hati ramai dek kekacakan dimiliki sewaktu namanya memuncak menerusi filem Titanic, perubahan fizikal Leonardo DiCaprio antara yang paling menjadi perhatian.
Masakan tidak, jika dahulu dia berwajah ‘jambu’, sekarang pada usia menjangkau 50 tahun, wajahnya seperti bapa-bapa. Paling ketara, dia pernah dirakam bercuti di sebuah pantai di Malibu, California beberapa tahun lalu dalam keadaan agak menjengkelkan bagi peminat.
Dalam foto dirakam paparazi, Leonardo memakai seluar pendek tanpa baju dan menonjolkan bentuk perutnya yang boroi. Justeru, ramai yang hilang selera melihat pelakon itu kerana aura dan pesona kacaknya sudah hilang. Tiada lagi Jack yang kacak dalam Titanic.
Britney Spears
BINTANG pop terkenal, Britney Spears berdepan perubahan fizikal ketara sekitar 2014 selepas berat badannya naik mendadak 13 kilogram (kg). Perubahan tersebut berlaku kerana dia ketika itu ketagih makan makanan segera tetapi langsung tidak bersenam.
Pelantun Toxic itu kemudian berusaha menurunkan berat badan pada 2021 iaitu sejurus kes mahkamah membabitkan bapanya selesai.
Britney bagaimanapun dalam perkongsian Instagram mengakui, dia berasa lebih bahagia ketika gemuk kerana fizikal besar sangat menawan.
Jessica Simpson
SI cantik berambut emas keperangan, Jessica Simpson satu nama yang cukup besar di persada Hollywood. Memulakan karier seawal 16 tahun, penyanyi kelahiran Texas itu dilambung populariti sehingga albumnya terjual lebih 30 juta di seluruh dunia secara keseluruhan.
Kecantikannya sentiasa menjadi perhatian, bahkan bentuk badan yang sempurna sering menjadi idaman wanita lain.
Sungguhpun begitu, pada 2019, penyanyi itu pernah berdepan perubahan fizikal ketara selepas melahirkan anak ketiga. Mahu kembali memakai pakaian sebelum hamil, dia berusaha menurunkan berat badan dengan mengamalkan rutin berjalan sebanyak lebih 15,000 langkah sehari.