GEORGE TOWN – Tiga ladang babi komersil di daerah Barat Daya menjadi lokasi terbaharu di negeri ini, yang dikesan positif wabak demam babi Afrika (ASF) dengan menjadikan jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 27 ladang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sehingga semalam pecahan keseluruhan ladang babi komersial yang disahkan positif ASF adalah 18 di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), dua di Seberang Perai Tengah (SPT), empat di Seberang Perai Utara (SPU) dan tiga di Barat Daya (DBD) menjadikan jumlah keseluruhan populasi babi yang terjangkit adalah 62,197 ekor di seluruh Pulau Pinang.
“Ladang babi komersil di Barat Daya menjadi ladang terbaharu yang dikesan positif ASF pada minggu lalu.
“Perebakan penyakit ini ke daerah Barat Daya mungkin berpunca daripada lori-lori yang digunakan untuk mengangkut babi-babi ke rumah sembelihan, mungkin lori ini tidak disanitasi dengan betul,” katanya dalam sidang akhbar di Komtar di sini, hari ini.
Menurut Kon Yeow, sehingga semalam, sebanyak 11,943 ekor babi telah dimusnahkan dari ladang-ladang positif dikenal pasti.
“Kerja-kerja pemusnahan masih giat dijalankan bagi mengekang penularan penyakit manakala bangkai babi yang dilupuskan ditanam di satu kawasan yang jauh dari penempatan awam dan tiada pembangunan bagi memastikan tidak berlaku kacau ganggu kepada orang awam,” katanya.
Beliau memberitahu, sekiranya ladang-ladang babi komersil yang dijangkiti mempunyai keluasan tanah yang mencukupi, bangkai babi boleh dilupuskan di kawasan ladang dan jika tidak, maka ia perlu ditanam di kawasan lain. Kawasan tanah di SPS mencukupi untuk tanam bangkai babi yang dijangkiti ASF,” katanya.
Jelas beliau lagi, JPVPP juga telah menghantar permohonan pampasan bagi 10 ladang babi yang telah selesai proses pelupusan kepada Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar (IPPV), Putrajaya untuk dibawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu, tambahnya, orang awam dinasihatkan agar tidak berasa cemas dengan wabak ASF kerana bukan penyakit zoonotik dan hanya menjangkiti ternakan babi serta babi hutan. – KOSMO! ONLINE