SIK – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila hampir diserang seekor gajah yang menceroboh kawasan rumahnya sebelum diselamatkan oleh ahli keluarganya dalam kejadian di Kampung Landai, Mukim Sok di sini kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu berlaku ketika Normazah Shamsudin, 51, bertindak keluar rumah selepas terdengar bunyi riuh penduduk yang turut terkejut dengan kemunculan gajah liar berkenaan.
Mengimbau semula kejadian itu, Normazah berkata, sebaik membuka pintu, dia terkejut apabila melihat seekor gajah berada sangat hampir dengannya.
“Belalainya berada dekat dengan muka saya. Tidak lama kemudian, dua anak, Siti Aisyah Ahmad, 15, dan Siti Hawa, 14, berlari ke arah saya lalu menarik saya masuk ke dalam rumah dan menutup pintu.
“Menggigil kami tiga beranak sebab terlalu takut dan pada masa sama teringatkan suami Ahmad Ad, 51, yang tidak pulang sejak dia keluar sejam sebelum itu. Saya bimbang dia diapa-apakan gajah,” katanya ketika ditemui.
Menurut Normazah, dia kemudian lega apabila Ahmad pulang tidak lama kemudian.
Pada 1 Februari lalu, Kosmo! melaporkan ratusan penduduk kampung itu bimbang susulan kehadiran enam ekor gajah liar yang kerap memasuki kawasan kebun selain semakin berani menghampiri rumah mereka.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim menasihati penduduk tidak mengganggu atau mendekati gajah berkenaan untuk mengelak kejadian tidak diingini.
“Enam gajah dewasa dan seekor anaknya keluar dari Hutan Simpan Ulu Muda untuk memakan umbut pisang, kelapa dan pokok-pokok lain.
“Ia aktif pada sebelah malam dan penduduk jangan melihat atau mengganggu mereka kerana dikhuatiri akan menjadi agresif,” katanya.
Ujar Jamalun Nasir, walaupun gajah kelihatan jinak tetapi ia akan rasa terancam kerana mahu melindungi anaknya.
“Pihak Perhilitan akan terus memantau dari semasa ke semasa sehingga gajah itu masuk jauh ke dalam hutan semula,” katanya.