LONDON – Pemain termahal Britain, Enzo Fernandez mengakui tidak sabar untuk membuat kemunculan ‘debut’ bersama Chelsea selepas melengkapkan penghijrahan pada hari terakhir perpindahan daripada kelab Benfica kelmarin.
Sebagai rekod, Chelsea telah membuat kerja gila apabila ‘pecah tabung’ untuk mendapatkan khidmat Fernandez dengan bayaran sebanyak £105 juta (RM558.98 juta) bagi mengaktifkan klausa dalam kontrak pemain berusia 22 tahun itu.
Situasi tersebut sekali gus memadamkan rekod yang dibuat oleh Manchester City untuk mendapatkan khidmat Jack Grealish daripada kelab Aston Villa pada musim 2021 dengan nilai perpindahan sebanyak £100 juta (RM467.7 juta).
Fernandez yang diperkenalkan di Stadium Stamford Bridge buat kali pertama awal pagi semalam mengakui sangat gembira dengan kepercayaan yang diberikan oleh pengurusan The Blues khususnya pemilik kelab, Toed Boehly.
“Saya sangat terhutang budi dengan apa yang dilakukan oleh pihak pengurusan kerana berusaha untuk menandatangani khidmat saya pada jendela perpindahan baru-baru ini.
“Saya anggap ini adalah keputusan yang tepat kerana Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah saingan terbaik dunia dan kini saya berazam untuk membantu pasukan mencabar kejuaraan utama,” kata Fernandez yang akan memakai jersi No. 5 pada kempen kali ini.
Pemain antarabangsa Argentina yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Dunia 2022 tahun lalu dijangka membuat kemunculan pertama pada aksi bertemu Fulham awal pagi esok. – AGENSI