KUALA TERENGGANU – Pemimpin Pas Terengganu masih belum dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan pemberian wang tunai didakwa sebagai dorongan mengundi sebuah parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini, tiada siapa antara mereka yang telah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kes tersebut.
“Saya juga tidak pasti siapakah 90 individu yang sedang dikenal pasti SPRM itu. Setakat ini, tiada (pemimpin Pas negeri) yang telah dipanggil.
“Begitupun, kami sedia memberi kerjasama (kepada SPRM) sekiranya diperlukan,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan agensi itu sedang menjejaki 90 individu bagi membantu siasatan berhubung isu pemberian wang untuk mengundi sebuah parti politik di Terengganu pada PRU15 lalu.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri percaya pembekuan akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menjejaskan persediaan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE