fbpx

Jaga berhenti kerja, berkorban hidup urus ibu bapa uzur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Saifullizan menguruskan ibunya, Senayah yang uzur di Kampung Losong Haji Awang, Kuala Terengganu baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU – Demi mencurahkan bakti terhadap ibu bapanya yang uzur, seorang pe­ngawal keselamatan mengambil keputusan berhenti kerja sejak tujuh tahun lalu.

Mohd. Saifullizan Abdullah, 47, berkata, keputusan berat itu dipilih berikutan ibunya, Se­nayah Embong, 76, terkena serangan strok pada 2016.

“Ibu juga menghidap penyakit diabetes kronik, manakala ayah, Abdullah Mohamad, 83, mengalami sakit sendi.

“Tidak sampai hati dan risau membiarkan mereka berdua di rumah. Saya mengambil keputusan untuk berkorban bagi menjaga kedua-dua orang tua,” katanya.

Mohd. Saifullizan berkata, setiap hari menjadi rutinnya membantu memandikan mereka dan memasak.

Tambahnya, sepanjang tujuh tahun ini juga, dia yang tidak mempunyai pendapatan tetap perlu berjimat cermat menggunakan wang simpanan.

“Adik bongsu berusia 35 tahun yang menetap bersama turut membantu menghulurkan wang belanja kami bertiga.

“Begitupun, wang simpanan saya semakin menyusut. Pendapatan adik yang bekerja di Pasar Borong Gong Pauh pula tidaklah seberapa,” ujarnya.

Tambahnya, setiap bulan, dia memerlukan RM700 untuk ubat, lampin pakai buang dan susu khas ibu bapanya.

Sehubungan itu, dia mengakui kadang-kala perlu mencatu makanan ekoran sumber kewangan yang semakin terhad.

“Simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan tahun lalu masih berbaki sedikit,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional milik Mohd. Saifullizan bernombor 11100-29-00100528-5 atau ­menghubunginya di talian ­011-3139 7011.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI