ADA yang berkata harga makanan mana pernah turun. Hanya akan naik.
Pandangan ini kurang tepat. Berdasarkan Harga Purata Item Terpilih di Malaysia terbitan Jabatan Perangkaan, harga ayam bagi bulan Julai 2022 adalah RM9.94 sekilogram. Pada Ogos 2022, harganya turun kepada RM9.65 sekilogram (meskipun selepas itu harga ayam terus naik).
Bermakna harga ayam boleh turun, walaupun bukan selalu, disebabkan pelbagai faktor. Bagaimanapun, lain pula ceritanya dengan nasi ayam.
Sekiranya seorang peniaga menjual nasi ayam pada harga RM6 sepinggan, amat sukar untuk kita melihat peniaga sama menurunkan harga jualannya kepada bawah RM6.
Seorang peniaga kebiasaannya amat susah mahu menaikkan harga jualan, terutamanya sekiranya majoriti pelanggannya datang daripada golongan B40.
Kerana takut kehilangan pelanggan, peniaga makanan terpaksa melakukan pelbagai cara untuk menyerap kenaikan kos bahan mentah.
Sekiranya tidak mampu, mungkin resipi terpaksa ditukar. Kalau dahulu nasi ayam disekalikan dengan salad dan timun, untuk mengekalkan harga, salad terpaksa dibuang, hanya timun diberikan.
Atau mungkin kuantiti nasi, atau saiz ayam terpaksa dikurangkan.
Langkah menaikkan harga jualan pula adalah jalan terakhir, setelah tidak mampu lagi menanggung bebanan kenaikan kos yang pelbagai.
Sebab itu selepas peniaga menaikkan harga, tidak munasabah sekiranya kita meminta dia menurunkan semula harga nasi ayamnya apabila harga ayam turun sedikit.
Adakah ini bermakna harga makanan yang dijual di gerai-gerai, pasar malam atau medan selera ini tidak akan turun?
Bagi Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, masyarakat perlu faham bukan mudah untuk melihat seorang peniaga menurunkan harga jualan.
Jelasnya, kos bahan mentah hanyalah salah satu daripada kos perniagaan. Banyak lagi kos lain perlu diambil kira seperti kos gaji pekerja yang semakin meningkat, sewa, bil utiliti dan sebagainya.
“Kita lihat ada penurunan dari segi harga bahan mentah, tetapi adakah kos-kos lain tidak menunjukkan peningkatan?
“Selain itu, kita juga perlu melihat profil pelanggan. Meskipun harga dijual mahal, namun sekiranya kebanyakan pelanggan adalah daripada golongan T20 dan M40 yang sanggup membayar, tiada sebab untuk mereka menurunkan harga,” katanya.
Menurut Ahmed Razman, akhirnya dalam satu pasaran bebas, harga barangan akan bergantung kepada bekalan dan permintaan. Sekiranya harga tinggi dan tiada permintaan, mahu tidak mahu peniaga terpaksa juga menurunkan harga.
“Pada masa sama, saya tidak suka gunakan istilah boikot kerana ia bersifat negatif. Kita pun tidak tahu apa masalah kedai berkenaan sehingga tidak boleh menurunkan harga.
“Saya lebih suka sekiranya masyarakat mempromosikan kedai-kedai yang mampu menawarkan makanan berkualiti pada harga berpatutan. Apabila peniaga seperti ini mendapat sambutan, saya percaya peniaga lain pun akan berusaha melakukan perkara yang sama.
“Peniaga makanan perlu sentiasa berusaha dan bersedia untuk mengawal kos dan meningkatkan kecekapan supaya tidak hilang pelanggan,” ujarnya.