fbpx

Gelombang kedua serangan Russia bulan ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA kebal Russia, T-72B3M menyertai perarakan di Dataran Merah, Moscow pada 9 Mei 2022. -- AFP

KIEV – Presiden Russia, Vladimir Putin didakwa sedang bersiap sedia untuk memulakan fasa terbaharu pencerobohan di Ukraine dengan mengerahkan 500,000 askar untuk berperang, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov berkata, Russia berkemungkinan ‘mencuba sesuatu’ bagi menandakan ulang tahun pencerobohannya ke atas Ukraine yang bermula pada Februari tahun lepas.

Fasa terbaharu serangan juga dikatakan bagi menandakan sambutan Hari Pembela Tanah Air Russia pada 23 Februari ini, yang meraikan pasukan tentera negara itu.

“Secara rasminya, Moscow mengumumkan seramai 300,000 (askar) namun, melihatkan bilangan tentera di sempadan, berdasarkan penilaian kami, angka itu sebenarnya lebih tinggi,” kata Reznikov.

Ketua Direktorat Perisikan Tentera Utama Ukraine (GUR), Kyrylo Budanov berkata, beliau menjangkakan gelombang terbaharu serangan tentera Russia akan memberi fokus kepada rantau Luhansk di bahagian timur negara itu.

Tambahnya, Ukraine dalam masa sama telah bersiap siaga untuk melakukan serangan balas menyasarkan Semenanjung Crimea hingga ke Donbas serta menyasarkan untuk merampas semula Crimea daripada Russia menjelang pertengahan tahun ini.

Sementara itu, wakil GUR, Andrii Yusov memberitahu saluran televisyen Ukrainian TV bahawa negara itu sedang berada pada fasa aktif bagi peperangan tersebut.

“Kedua-dua bulan Februari dan Mac akan menjadi amat intensif.

“Kemahiran dan motivasi askar Ukraine yang ditambah dengan peralatan serta senjata milik negara dan (yang dibekalkan) oleh sekutu-sekutu luar, merupakan apa yang akan mengubah arus serangan ini,” kata Yusov.

Dalam pada itu, Ketua Marin Ukraine, Leftenan Jeneral Yurii Sodol berkata, askar Russia digesa untuk meninggalkan kedudukan mereka sebelum dibunuh dalam peperangan itu.

“Sebelum terlambat, lari, pulanglah ke ‘maruskas’ (wanita Russia) atau menyerah kalah. Jika tidak, nasib anda berada di tangan orang lain, sama ada beg hitam (beg mayat) atau kecacatan menanti anda. Ini adalah masa depan yang ‘bahagia’.

“Berbeza dengan anda (askar Russia), kami tahu apa yang kami perjuangkan. Kami bersatu dan kami adalah satu. Kami akan melakukan apa sahaja supaya bendera biru-kuning (bendera Ukraine) berkibar semula di semua bandar di Donbas dan Semenanjung Crimea,” tegas Sodol.

Moscow dalam pada itu memberi respons dengan menuduh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menggerakkan semua infrastruktur ketenteraannya bagi menentang Russia termasuk menggunakan satelit.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, langkah itu telah mewujudkan keadaan yang sangat ‘pelik dan bermusuhan’ untuk Russia dengan kerajaan persekutuan mengambil perhatian mengenai perkara itu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI