fbpx

Bersiap sedia untuk menerima kehadiran pengunjung di Presint Merdeka 118

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUSILAWATI yang merupakan salah seorang penerima Program Geran Komuniti Merdeka 118 telah mendapat manfaat daripada latihan yang disediakan,

KUALA LUMPUR – Perniagaan tempatan adalah tonggak utama komuniti dan penting untuk sesebuah masyarakat berkembang maju.

Terletak di kawasan ibu kota bersejarah Kuala Lumpur, presint Merdeka 118 merupakan sebuah lokasi yang mempunyai kepelbagaian perniagaan tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sedang berkembang pesat.

Salah satu perniagaan yang terkenal di kawasan itu adalah Restoran ZK yang terletak di Jalan Kampung Attap.

Beroperasi selama lebih 30 tahun dan berjaya mengharungi cabaran pandemik, restoran ini turut terkenal dengan menu istimewa kari kepala ikan.

Pengasas dan pemilik Restoran ZK, Haji Zabarullah Khan mengulas, pandemik Covid-19 baru-baru ini telah menjejaskan perniagaannya dan menyaksikan penurunan jualan sebanyak 70 peratus.

Haji Zabarullah Khan

Menurutnya, walaupun belum pulih sepenuhnya, mereka mula menerima lebih ramai pelanggan pada hari bekerja.

“Sebaik sahaja Merdeka 118 dibuka, saya menjangkakan bilangan pengunjung yang ramai akan memenuhi kawasan ini dan memberi manfaat kepada perniagaan setempat.

“Untuk menampung peningkatan jumlah pengunjung yang akan datang, kami telah membuka sebuah kedai lot dua tingkat yang boleh memuatkan seramai 200 pelanggan dan telah dibuka pada Januari 2023.” katanya.

Komited untuk mewujudkan presint yang pesat berkembang dan berdaya tahan, pembangunan Merdeka 118 yang diusahakan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dapat mempertingkatkan kegiatan ekonomi bagi peniaga-peniaga setempat.

Setelah siap pembinaan pada hujung tahun 2023, menara Merdeka 118 dijangka akan menarik lebih ramai penyewa dan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, Tengku Dato’ Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, presint Merdeka 118 adalah sebuah kawasan unik dengan pelbagai potensi yang boleh dikembangkan.

“Bersama-sama perniagaan setempat dan PKS, kami ingin memanfaatkan peluang ini dengan menyemarakkan penjanaan nilai ekonomi yang positif dalam kawasan tersebut.

“Satu contoh yang baik ialah Program Geran Komuniti Merdeka 118, yang membantu memperkasakan masyarakat setempat untuk berkembang maju bersama dengan pembangunan Merdeka 118,” katanya.

Salah satu perniagaan yang terkenal di kawasan itu adalah Restoran ZK yang terletak di Jalan Kampung Attap.

Ini dapat dibuktikan melalui pemilik perniagaan kecil di sekitar Perumahan Awam (PA) Seri Sarawak berdekatan presint Merdeka 118 dan juga peserta Sinergi Aspirasi Global, (salah seorang penerima Program Geran Komuniti Merdeka 118), Rusilawati Borhan yang telah mendapat manfaat daripada latihan yang disediakan.

Rusilawati berkata, sebagai seorang ibu yang perlu menampung kos keperluan hidup seorang anak dan suami yang kurang upaya, dia amat menghargai bimbingan dan latihan yang diberikan.

“Sebelum ini, jualan nasi lemak dan kuih-muih saya tidak melebihi RM30 sehari. Setelah mempraktikkan
modul strategi melalui latihan yang diberi, jualan saya kini melebihi RM70 sehari,” jelasnya.

Malah, dia kini boleh menampung keperluan keluarga dan menjamin masa depan anaknya dengan pendidikan tinggi.

Dalam pada itu, tambah Tengku Dato’ Ab. Aziz, mereka cukup teruja untuk melihat potensi masa depan masyarakat setempat apabila Merdeka 118 dibuka nanti.

“Dengan peningkatan aktiviti di sini, peniaga komersial di kawasan ini akan mendapat manfaat daripada jumlah pengunjung yang akan semakin bertambah.

“Bagi meningkatkan keselesaan komuniti setempat kami menumpukan usaha untuk membaik pulih kesalinghubungan di presint Merdeka 118 di mana kami telah menaik taraf infrastruktur jalan untuk melancarkan aliran trafik.

“Dengan adanya kemudahan awam seperti monorel, LRT dan MRT, ia pasti akan membantu menarik lebih ramai pengunjung, seterusnya menjadikan presint Merdeka 118 sebuah destinasi utama bagi pengunjung tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Dengan nafas baharu yang dibawa oleh PMVSB, sememangnya ia mampu memberi prospek yang cerah kepada perniagaan-perniagaan setempat dalam presint Merdeka 118.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI