PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni bekas wartawan hiburan, Rosli Manah yang diuji masalah kesihatan di kediamannya di Kajang, Selangor, semalam.
Ismail yang juga bapa kepada penyanyi Dafi, meluangkan masa sekitar sejam di kediaman penulis berusia 55 tahun itu untuk bertanya khabar.
Katanya, beliau mengenali Rosli yang bekerja di akhbar Utusan Malaysia sejak tahun 2007.
“Hubungan kami akrab kerana Rosli banyak membantu karier Dafi sebagai penyanyi,” katanya.
Sementara itu, Rosli berterima kasih kepada Ismail yang sudi meluangkan waktu menziarah dan bertanyakan khabar dirinya.
Rosli bertugas di Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad lebih 26 tahun sehingga syarikat itu ditutup pada 2019.
Sejak itu, Rosli melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara kehidupan keluarga.
Rosli dan isteri, Adma Ghani memiliki tiga cahaya mata iaitu Dean Ilham, 27, Aasif Esfan, 26, dan Daniel Ashman, 18.
Turut mengiringi Ismail Sabri pada kunjungan itu adalah Pengarah Media dan Komunikasi Strategik, Datuk Ruhaidini Abd Kadir serta Setiausaha Akhbar, Asyraf Afnan Ahmad Murtadza. – KOSMO! ONLINE