PETALING JAYA – Kempen ‘Revive, Restore, Retain dan Stay Protected’ yang dianjurkan pengendali takaful keluarga, Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) bukan hanya menghargai kesetiaan para pelanggan malah diadakan bagi memastikan perlindungan takaful secara berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, perkara tersebut seiring dengan misi PruBSN untuk membantu rakyat Malaysia untuk memanfaatkan perlindungan terbaik dalam kehidupan seharian mereka.
Katanya lagi, dalam mengharungi pelbagai cabaran daripada segi ekonomi, kesihatan, sosial dan persekitaran yang dinamik, situasi yang tidak terduga dan di luar kawalan boleh menimpa sesiapa sahaja.
“Keadaan ini sememangnya membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila kita tidak mempunyai jaringan keselamatan kewangan yang menjamin masa hadapan kita dan keluarga tersayang.
“Kerana itulah kami menganjurkan kempen Revive, Restore, Retain dan Stay Protected pada tahun lalu untuk menggalakkan para pelanggan kami memiliki perlindungan yang berterusan sebagai jaringan keselamatan kewangan sekiranya ditimpa sebarang musibah,” katanya ketika meraikan pemenang Kempen ‘Revive, Restore, Retain dan Stay Protected’ di Subang Jaya hari ini.
Dalam majlis tersebut, menyaksikan pelanggan bertuah, Aiman Syafiq Zakaria dari Johor Bahru membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kereta Proton Persona 1.6L Premium CVT yang bernilai RM60,000.
Wan Saifulrizal berkata, kesemua pemenang dipilih berdasarkan cabutan secara rawak dari senarai pemegang sijil dengan pengaktifan semula sijil atau mendaftar untuk pembayaran automatik melalui debit terus atau kad debit/kredit sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Dalam majlis yang sama, Wan Saifulrizal turut mengumumkan kempen terbaru PruBSN agar semua rakyat Malaysia dilindungi pada setiap masa serta menghargai para pelanggan dengan menawarkan ganjaran pakej Umrah dan Haji.
“Pada setiap bulan bermula Januari sehingga Disember 2023, cabutan rezeki akan berlangsung untuk memilih seorang pemenang yang bakal memenangi pakej Umrah untuk dua orang.
“Seorang pelanggan bertuah pula bakal memenangi hadiah utama berupa pakej menunaikan fardu Haji juga untuk dua orang,” jelasnya.
Untuk melayakkan diri bagi cabutan rezeki, para pelanggan hanya perlu mendaftar untuk pembayaran sijil secara automatik (auto deduction) sepanjang tahun ini. – KOSMO! ONLINE.