fbpx

Sindiket edar syabu dalam bungkusan teh Cina tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Shuhaily (kanan) ketika sidang akhbar tangkapan dan rampasan syabu di IPD Seberang Perai Utara (SPU), hari ini. IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran syabu di dalam bungkusan teh Cina bernilai RM1.5 juta yang didalangi warga tempatan dalam dua serbuan di daerah Seberang Perai Utara (SPU), di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang itu, polis turut menahan tujuh lelaki berusia antara 26 sehingga 54 tahun.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, polis menahan lima individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan termasuk dua adik beradik di sebuah rumah di Permatang Kerai Besar pada pukul 8.45 malam selain menemui 11 bungkusan plastik warna kehijauan berlabel teh Cina serta dua peket plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan dadah jenis syabu.

“Ekoran penahanan itu, polis melakukan serbuan kedua pada keesokan harinya di pusat bandar Bertam Perdana dan menahan dua lagi individu pada pukul 8 pagi serta merampas 30 bungkusan plastik jenis sama yang ditemui dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, di sini hari ini.

Beliau berkata, anggaran berat kesemua dadah yang dirampas adalah 41.8 kilogram (kg) manakala jumlah keseluruhan nilai rampasan syabu dan sitaan bagi empat kenderaan termasuk wang tunai RM1,000 adalah RM1.97 juta.

“Hasil risikan yang dijalankan, sindiket terbabit telah bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu dengan tumpuan kepada pasaran tempatan, manakala ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima suspek dalam serbuan pertama positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripadanya turut memiliki rekod membabitkan pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

“Selain itu, salah seorang daripada suspek yang ditahan dalam serbuan kedua turut memiliki rekod kesalahan mengikut Akta Racun 1952,” katanya kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 3 Februari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI