PETALING JAYA – Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan 75 perlawanan Liga Malaysia 2023 secara langsung buat para peminat sukan bola sepak tanah air.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, siaran tersebut melibatkan beberapa saingan termasuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
“Perlawanan pertama akan disiarkan pada 24 Februari 2023 melibatkan perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua siaran langsung pada waktu sebenar perlawanan ini boleh disaksikan di saluran TV2, Sukan RTM dan TV Okey serta penstriman langsung melalui aplikasi RTMKlik. – KOSMO! ONLINE.