fbpx

Polis iring wanita hampir bersalin dalam kereta terima anugerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Rizwan Razali (kanan) Mohammad Najmi Daud (kiri)

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas dua anggota polis trafik yang tular mengiringi kereta dinaiki ibu yang hampir bersalin ke hospital sejauh 20 kilometer menerima Sijil Penghargaan Khas daripada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, hari ini.

Berkongsi pengalaman itu, Lans Koperal Mohammad Rizwan Razali bersama rakan setugasnya Lans Koperal Mohammad Najmi Daud ketika itu baru sahaja selesai menjalankan operasi di kawasan berkenaan.

Mohammad Rizwan berkata, pada awalnya dia dalam perjalanan pulang ke IPD Bachok namun terlihat sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu melawan arus di laluan berkenaan.

Katanya, dia terkejut apabila mendapati pemandu tersebut membawa isterinya yang hampir bersalin dan perlu ke hospital dengan kadar segera.

“Melihat sahaja keadaan tersebut, saya terus memohon kebenaran dari ketua untuk mengiringinya ke klinik berdekatan.

“Bagaimanapun setiba di klinik, saya dapati tiada ambulans di sana dan terus mengiring wanita berkenaan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu sejauh 20 kilometer,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina 2023, di sini.

Sementara itu, Mohammad Najmi berkata, dia hanya mendapat tahu tindakan dengan rakan sekerjanya itu tular tiga hari selepas kejadian tersebut berlaku.

“Saya hanya menjalankan tugas dalam membantu orang awam yang dalam kesusahan dan kecemasan.

“Penghargaan ini saya akan jadikan pemangkin semangat untuk terus berkhidmat pada masa akan datang,”katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, dua anggota polis trafik bertindak pantas mengiringi kereta dinaiki wanita yang sedang sarat mengandung ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya di Jelawat, Bachok, ke hospital berdekatan.

Pasangan suami isteri itu selamat tiba di HPRZ II kira-kira pukul 8 malam sebelum wanita terbabit dibawa ke wad bersalin. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI