JITRA – Seorang lelaki mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjala ikan dalam kejadian di Kampung Batu 6, Jalan Sanglang-Kodiang, dekat sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.59 petang tadi.
Katanya, operasi mencari mangsa dilakukan lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Sharifudin Yaakob.
“Anggota melakukan operasi pencarian di permukaan sungai dengan dibantu penduduk kampung.
“Mangsa kemudian ditemui kira-kira pukul 5.39 petang tadi sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.