TONGGAK Harimau Malaya, Dion Cools mengakui tidak mengambil masa yang lama untuk serasi bersama kelab baharu yang diwakili di Liga Thailand, Buriram United sejak berhijrah secara rasmi bulan lalu.
Sebagai rekod, Cools mengambil keputusan untuk berkelana ke saingan bola sepak Asia Tenggara buat kali pertama selepas berada di Eropah sepanjang kariernya bersama kelab OH Leuven, Brugge, Midtjylland, Zulte Waregem dan Jablonec sebelum ini.
Pemain berdarah Malaysia-Belgium ini mengakui Buriram adalah salah satu kelab terbesar di Asia Tenggara dan sekarang adalah untuk membalas kepercayaan yang diberikan skuad Thunder Castle itu.
“Semua tahu Buriram memiliki pengaruh yang besar di rantau ini. Apabila saya sudah bergelar ejen bebas dan mereka menawarkan peluang buat saya berhijrah, saya terima dengan tangan terbuka.
“Secara jujur, mereka telah lama mahukan khidmat saya sebelum ini dan sekarang adalah masa untuk saya menikmati perjalanan karier di sini kerana Thailand memiliki liga yang agak bagus,” katanya dipetik menerusi portal tempatan, SNE Sports.
Pemain berusia 27 tahun telah membuat tiga penampilan bersama skuad kendalian Masatada Ishii itu menentang Sukhotai, Muangthong United dan Choburi dengan mempamerkan corak permainan cukup berkualiti.
Cools sebelum ini menyahut panggilan skuad kebangsaan buat pertama kali pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Jun 2020 dan membantu pasukan pada Piala AFF Suzuki 2020.
Tonggak pertahanan ini turut membantu skuad kendalian Kim Pan-gon pada kempen kelayakan Piala Asia 2023 yang menyaksikan pasukan negara layak secara automatik tahun lalu.
Namun, Cools terpaksa menarik diri pada saingan Piala AFF 2022 yang berlangsung pada Disember lepas kerana alasan peribadi.