MELAKA – Nyawa tiga beranak hampir melayang apabila gerai niaga menjual pelbagai produk makanan tradisional termasuk belacan dan cencaluk dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kampung Pinang Batang Tiga, Lereh di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa Abu Bakar Abd Aziz, 56, isteri Junaidah Maarof, 45, dan anak mereka Rabiatul Adawiyah Abu Bakar, 23, masing-masing mengalami kecederaan di kepala serta kaki.
Abu Bakar berkata, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga sedang berbual dengan isteri dan anaknya sedang menyusun stok baharu makanan di dalam kedai, manakala dia berada di kaki lima jalan.
“Ketika kami sedang berbual tiba-tiba sebuah kereta jenis Peugeot dari arah pusat bandar datang melulu dan merempuh gerai belacan kami.
“Anak dan isteri saya terperangkap di dalam gerai dengan keadaan kaki mereka tersepit di antara rak besi jualan dengan kereta tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Ujarnya, dia mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan keluarganya sebelum dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Kejadian berlaku sangat pantas dan hanya bunyi dentuman kuat dapat didengari disusuli suara anak dan isteri yang menjerit kesakitan meminta tolong.
“Kami sekeluarga masih trauma, ini adalah kejadian pertama sejak 20 tahun berniaga di sini dan saya anggarkan kerugian dialami lebih RM20,000 melibatkan barangan niaga dan dua buah motosikal milik saya serta anak yang diparkir di hadapan gerai,” katanya.
Dalam pada itu, difahamkan pemandu dan seorang penumpang SUV terbabit turut terselamat dan dikejarkan ke hospital. -KOSMO! ONLINE.