BEIJING – Sebuah firma China menjadi bualan susulan klip video menunjukkan ia menyusun wang tunai sebanyak AS$9 juta (RM38.28 juta) di atas pentas sebelum menyerahkannya sebagai bonus akhir tahun kepada pekerja-pekerja yang layak, lapor portal berita Wion News semalam.
Menurut media tempatan, acara itu dianjurkan oleh firma kren, Henan Mine di wilayah Henan, manakala video tersebut telah tersebar di media sosial sejak 17 Januari lalu.
Ia menunjukkan wang tunai bertimbun di atas pentas dalam bentuk piramid dan ada pekerja terpaksa dibantu untuk membawa begitu banyak wang bonus yang diterima.
Tiga pengurus jualan berprestasi terbaik menerima lima juta yuan (RM3.15 juta) setiap seorang, manakala 30 yang lain mendapat sekurang-kurangnya satu juta yuan (RM630,150), lapor agensi Jiemian News, memetik seorang pengurus yang tidak dinamakan daripada Jabatan Perhubungan Awam syarikat itu.
“Kami mengadakan mesyuarat akhir tahun pada malam 17 Januari lalu dan memberikan bonus 61 juta yuan (RM38.4 juta) secara keseluruhan kepada 40 pengurus jualan,” dia dipetik sebagai berkata.
Syarikat itu juga menganjurkan pertandingan mengira wang tunai, tambah pekerja tersebut.
Syarikat Henan Mine yang diasaskan pada 2002, mempunyai lebih 5,100 pekerja di 380 pejabat di China dan seluruh dunia, demikian menurut laman web rasminya.
Syarikat itu merekodkan jualan sebanyak 9.16 bilion yuan (RM5.77 bilion) pada 2022, meningkat 23 peratus berbanding tahun sebelumnya. – Agensi