Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Setiap hari, netizen pasti tertunggu-tunggu apa lagi pantun empat kerat yang akan dikongsi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di laman sosial rasminya.
Apa tidaknya, setiap kali pantun empat kerat dimuat naik oleh DBP, ia pasti menarik perhatian netizen.
Disebabkan itu, laman sosial Facebook DBP semakin mendapat perhatian dan mula diikuti oleh netizen terutama selepas perkongsian pantun ‘apalah guna beristeri cantik’ dan ‘apa guna melompat pagar’ baru-baru ini.
Kedua-dua pantun itu mendapat tanda suka, dikongsi dan komen yang banyak oleh netizen kerana ia dikatakan kena dengan situasi semasa negara.
Setakat hari ini, laman sosial Facebook DBP mempunyai lebih 290,000 pengikut.
Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran menerusi sidang video di Bernama TV, semalam berkata, beliau kagum dengan reaksi netizen terhadap pantun-pantun berkenaan dan ia menunjukkan masyarakat kembali meminati tradisi berpantun.
“Kami agak kagum dengan kebolehan mereka (netizen). Mereka jawab balik pantun dengan cara kreatif.
“Justeru, kami beranggapan masyarakat sudah mula minat dengan tradisi ini. Saya juga percaya pantun mestilah relevan dengan keadaan semasa,” katanya.
Katanya, pihaknya merancang untuk mengumpulkan pantun-pantun yang dikongsi netizen di ruang komen Facebook rasmi DBP sebelum diterbitkan buat tatapan umum.
Mengulas mengenai reaksi anak muda terhadap tradisi berpantun, Abang Sallehuddin berkata, beliau melihat banyak ruang yang boleh dilibatkan untuk menarik minat anak muda kembali kepada tradisi itu.
“Pantun adalah interaksi intelektual yang harus dikembalikan. Pantun juga adalah lambang intelektual masyarakat Melayu,” katanya.
Katanya, buat masa ini, beberapa institusi pengajian tinggi awam sudah mula mewujudkan bank data bagi mengumpulkan pantun-pantun ini. -K! ONLINE