fbpx

Anak dijel 6 tahun, mengaku pukul bapa guna kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yaumiheris dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan selepas didapati bersalah memukul bapanya di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Perbuatan tidak berhati perut seorang lelaki memukul bapanya berusia 71 tahun menggunakan sebatang kayu berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Yaumiheris Nordin, 42, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap bapa kandungnya, Nordin Dengker, 71, dengan memukul bahagian muka dan badan mangsa menggunakan sebatang kayu.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 7 malam di sebuah rumah di Jalan Paya Keladi, Kampung Bukit Darat dalam daerah Melaka Tengah pada 26 Januari lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dan dilaksanakan dari tarikh ditangkap iaitu 27 Januari.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan mangsa merupakan bapa kandungnya sendiri.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Mohd. Sabri kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan.

Dalam prosiding berasingan, tertuduh juga mengaku bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman atas pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut bapanya dengan mengacukan parang dan berkata, “aku boleh bunuh kau bila-bila masa kalau aku nak”.

Bagi kesalahan itu dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh ditangkap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI