fbpx

Sichuan benar pasangan tidak berkahwin miliki anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wilayah Sichuan menduduki tempat ketujuh dari segi jumlah penduduk berumur lebih 60 tahun di China. - Foto Rex/Shutterstock

BEIJING – Wilayah Sichuan yang mempunyai populasi lebih 80 juta akan menarik balik sekatan terhadap penduduk belum berkahwin untuk mempunyai anak dan memansuhkan had bilangan bayi sebagai usaha meningkatkan kadar kelahiran di China, lapor portal akhbar The Guardian kelmarin.

Suruhanjaya Kesihatan Sichuan mengumumkan bahawa pihaknya akan membenarkan semua penduduk untuk mendaftar kelahiran dengan pentadbiran wilayah bermula 15 Februari ini.

Pihak berkuasa berkenaan juga akan membatalkan had bilangan pendaftaran kelahiran untuk mana-mana ibu bapa.

Sebelum ini, suruhanjaya sama hanya membenarkan pasangan sudah berkahwin yang ingin mempunyai sehingga dua orang anak untuk mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan.

Dalam notisnya, pihak berkuasa Sichuan berkata, langkah itu untuk mengalihkan fokus pendaftaran melahirkan anak kepada keinginan melahirkan anak dan hasil melahirkan anak.

Dasar reproduksi kebangsaan tidak secara terang-terangan melarang wanita yang belum berkahwin daripada mempunyai cahaya mata tetapi bukti perkahwinan diperlukan untuk ibu bapa mengakses perkhidmatan percuma termasuk penjagaan kesihatan kependudukan, gaji ibu semasa cuti bersalin dan perlindungan pekerjaan.

Mereka yang ingin mendaftarkan kelahiran di luar perkahwinan sering menghadapi denda berat sebelum boleh mendapatkan hak kanak-kanak termasuk akses kepada pendidikan dan perkhidmatan sosial.

Perubahan dasar itu berlaku ketika China memperkenalkan lebih inisiatif bagi menggalakkan lebih ramai penduduk mempunyai anak.

Pada tahun 2022, jumlah populasi China susut buat kali pertama dalam tempoh enam dekad manakala kebimbangan pemerintah tertumpu pada kesan ke atas ekonomi kerana penduduk negara itu yang semakin tua.

Sichuan menduduki tempat ketujuh dari segi perkadaran penduduk yang berumur lebih daripada 60 tahun iaitu lebih 21 peratus, demikian menurut angka pemerintah.

Golongan muda semakin menolak perkahwinan dan memiliki anak dengan alasan kos sara hidup tinggi, mobiliti sosial yang berkurangan, tekanan kerjaya dan jangkaan sosial terhadap wanita. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI