fbpx

Menu Rahmah: Pengurangan cukai buat para peniaga akan dibincang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin bersama Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin melawat gerai makanan pada Pelancaran Inisiatif Menu Rahmah di Pasaraya Mydin Subang Jaya, baru-baru ini. - Foto SADDAM YUSOFF

SUBANG JAYA – Pengurangan cukai perniagaan buat para pengusaha kedai makanan dan restoran yang terlibat dalam inisiatif Menu Rahmah akan dibincangkan dalam barisan kabinet kelak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata ia kerana kesudian peniaga-peniaga yang berkrompomi dalam mengurangkan keuntungan untuk terlibat sama dalam inisiatif ini haruslah dihargai.

“Sesiapa yang menjayakan Menu Rahmah ini kita akan santuni mereka, dengan apa jua kemampuan. Soal pengurangan cukai, pengurangan kadar sewa dan pelbagai insentif lain buat para peniaga, kita akan bincangkan lagi dalam kabinet.

“Namun kebanyakan pemilik-pemilik kedai makan atau restoran, mereka sedang menghadapi masalah pekerja.

“Jadi kerajaan akan tolong dari segi masalah tersebut agar mereka dapat terus berikan servis yang terbaik dalam bidang makanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Menu Rahmah di Mydin Subang Jaya, hari ini.

Tambah Salahuddin, berbeza dengan bantuan makanan yang dahulu, peniaga-peniaga yang terlibat dalam inisiatif ini boleh menyalurkan sebarang masalah yang dihadapi kepada persatuan-persatuan peniaga dan pemilik kedai makan.

Jelas lagi, pihak KPDN akan sentiasa memerhati dan mendengar masalah-masalah mereka agar Menu Rahmah ini dapat dilaksanakan dalam jangka masa yang panjang.

Dalam pada itu, bertanyakan tentang soal tiada ketetapan khas dibuat dalam menjamin agar Menu Rahmah ini akan dibeli oleh golongan B40 sahaja, Salahuddin tidak menolak bahawa inisiatif ini juga boleh dimanfaatkan oleh golongan lain.

“Bagi saya, kalau golongan M40 atau T20 nak beli pun tiada masalah. Jika tengah bulan kurang duit dalam poket, boleh beli pelbagai pilihan di bawah Menu Rahmah. Tetapi saya percaya mereka pun ada citarasa sendiri yang mungkin berbeza.

“Cuma hasrat KPDN agar jangan ada golongan miskin tegar tertinggal dan saya tidak fikir akan ada golongan berkemampuan yang akan ambil kesempatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI