PETALING JAYA – Seorang wanita berang selepas tidak dibenarkan memasuki Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Kajang berikutan tidak berpakaian sopan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata wanita berusia lingkungan 30-an itu datang ke IPD Kajang berhubung kes kemalangan jalan raya dihadapinya kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Anggota sentri bertugas telah memaklumkan supaya meletakkan kereta beliau disebelah belakang IPD disebabkan tempat letak kereta yang tidak mencukupi di dalam kawasan IPD.
“Anggota sentri juga mendapati wanita tersebut memakai seluar pendek paras peha (di atas paras lutut) dan telah menasihatinya supaya menukar seluar yang lebih sesuai jika ingin berurusan di IPD selaras dengan etika pemakaian untuk berurusan di premis kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, berikutan daripada teguran oleh anggota bertugas, wanita tersebut tidak berpuas hati dan enggan mengikut arahan dan melakukan provokasi terhadap anggota berkenaan.
“Anggota bertugas sekali lagi menasihatinya secara berhemah dan meminta beliau menukar seluar yang lebih sesuai jika ingin berurusan di balai polis.
“Wanita tersebut kemudiannya telah memandu keluar dari balai dan tiba semula kira-kira 15 hingga 20 minit bersama dua lagi rakannya dan didapati telah memakai seluar panjang,” ujarnya.
Tambahnya, kejadian itu tular selepas sebuah laporan yang dikeluarkan oleh portal berita memuat naik gambar wanita itu dilarang memasuki kawasan IPD Kajang walaupun berpakaian sopan.
“Pemakaian seluar panjang sebagaimana di dalam gambar yang viral di dalam sebuah portal berita dipakai olehnya adalah setelah dia menukar seluar selepas dinasihatkan oleh anggota bertugas,” katanya.
Mohd. Zaid memberitahu IPD Kajang berurusan bersama orang ramai dengan anggaran 300 orang dalam tempoh sehari selain tiada sebarang masalah yang timbul mengenai isu pakaian.
“Gambar etika pakaian pelawat ketika berurusan dalam premis kerajaan juga dilekatkan pada Pos Kawalan sebagai rujukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE