fbpx

10 tan sampah sebulan di Pantai Morib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirul Azizan (tiga kanan), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin (kiri) dan Ahmad Rizal (kanan) bersama jentera 'Walk Beach Comber' di Pantai Morib Baru.

KUALA LANGAT – Sikap buruk pengunjung yang membuang sampah merata-rata mengakibatkan purata 10 tan sampah dikutip setiap bulan khususnya di Pantai Morib di sini.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEB Waste Management, Ahmad Rizal Mohd. Daud berkata, kebanyakan sampah bukan sahaja barang makanan, malah melibatkan putung rokok, lampin pakai buang, seluar dan selipar di pesisir pantai.

Katanya, jumlah itu disifatkan tinggi dengan keluasan Pantai Morib Baru contohnya hanya seluas 4,400 meter persegi.

“Kita mengetahui Pantai Morib contohnya menjadi lokasi peranginan paling dikunjungi pada hujung minggu atau cuti persekolahan.

“Namun, kita mohon kesedaran mereka dengan menggunakan tong sampah disediakan demi keselesaan bersama,” katanya ketika ditemui di Pantai Morib Baru di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri pelancaran jentera pembersihan dan penyerahan 47,495 tong sampah secara berperingkat bagi kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di sini yang disempurnakan Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim.

Menurut Ahmad Rizal, dua buah mesin iaitu ‘Walk Beach Comber’ dan ‘Glutton Electric Little Picker’ yang bernilai keseluruhan RM1600,000 digunakan di Pantai Morib itu adalah merupakan projek perintis pembersihan pesisir pantai di Selangor.

Tambah Ahmad Rizal, Walk Beach Comber contohnya mampu membersihkan lebih mendalam sewaktu keadaan pasir lembap dan basah.

“Mesin itu boleh bergerak 670 meter persegi sejam dengan dikendalikan seorang pekerja sahaja. Jadi, kos pekerja dapat dikurangkan dengan secara manual memerlukan lima pekerja,” katanya.

Sementara itu, Amirul Azizan mengakui pihak menerima banyak aduan berhubung sampah termasuk di celah-celah batu pantai ini.

“Kadang-kadang sampah dibawa ombak atau air pasang dan bila air surut tersepit di celah batu. Kita hargai aduan pengguna.

“Kita juga akan memperluaskan penggunaan mesin ini di pantai lain seperti Kelanang dan Cunang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI