PARIT BUNTAR – Sebanyak 2,703 bubu naga berjaya dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak sepanjang Januari hingga akhir Disember tahun lalu.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohd. Hambali Ya’akub berkata, rampasan tersebut dilakukan menerusi pelbagai operasi termasuk Op Khas yang dijalankan selama dua bulan bermula November hingga akhir Disember lalu di perairan Kerian di sini.
“Pihak APMM sentiasa menjalankan penguatkuasaan secara berterusan dalam memerangi penggunaan kaedah penangkapan ikan mengunakan bubu naga kerana ia mengancam serta mampu memusnahkan ekosistem laut negara.
“Hasil daripada penguatkuasaan tersebut, APMM Perak berjaya merampas 2,703 unit bubu naga dengan anggaran rampasan sebanyak RM189,210,” katanya pada sidang akhbar di APMM Zon Kuala Kurau di Kuala Kurau di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut berkenaan Op Khas bubu naga perairan Kerian, beliau berkata, pihaknya mendapati penggunaannya lebih tinggi berbanding daerah lain di negeri ini.
“Walaupun ada penurunan penggunaan bubu naga di seluruh Perak, namun perairan ini masih lagi tinggi berbanding tempat lain.
“Dalam Op Khas selama dua bulan itu APMM Zon Kuala Kurau berjaya merampas 1,000 unit bubu naga dengan nilai rampasan sebanyak RM70,000,” katanya.
Menurut Mohd. Hambali, kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c)Akta Perikanan 1985.
Tambahnya, setakat ini sebanyak 717 unit bubu naga dengan nilai anggaran RM50,190 telah selesai menjalani proses perundangan dan akan dilupuskan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE