SELAYANG – Dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga asing yang mayatnya ditemui di tepi jalan Disember lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh iaitu MD Mojibur Rahman, 30, yang merupakan warga Bangladesh dan penganggur warga tempatan, K.Visvanathan, 57, selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret, Nur Hafizah Rajuni.
Pengakuan tidak direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama membunuh seorang lelaki warga negara Bangladesh Khalek Sheikh, 41, di tepi Jalan Bestari Jaya – Rawang, Batu Arang di sini, antara pukul 9 malam hingga 9.40 malam pada 29 Disember tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi.
Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes.
Pada 30 Disember tahun lalu, media melaporkan satu mayat ditemui di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang di sini, dalam keadaan tangan dan kaki berikat.
Pihak polis memaklumkan, hasil pemeriksaan tubuh badan mangsa mendapati tangan dan kaki telah diikat dengan tali selain terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala. – KOSMO! ONLINE