NAPOLI – Napoli terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Serie A selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas AS Roma pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Diego Armando Maradona awal pagi semalam.
Dua gol menerusi Victor Osimhen dan Giovanni Simeone nyata memberikan harapan kepada Napoli untuk menamatkan kemarau kejuaraan liga dalam tempoh 33 tahun apabila memiliki kelebihan 13 mata dengan pencabar terdekat, Inter Milan.
Jurulatih Napoli, Luciano Spalletti memuji semangat juang yang ditampilkan barisan pemainnya meskipun Roma menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Stephan El Shaarawy selepas Osimhen membuka tirai jaringan.
“Kami menang perlawanan hari ini (semalam) kerana seluruh pasukan termasuk pemain dan staf menunjukkan kemahuan untuk menang. Perlawanan ini bukannya mudah kerana bertemu salah sebuah pasukan terbaik dalam liga.
“Pemain-pemain simpanan juga membuktikan mereka sudah bersedia dari awal perlawanan lagi apabila menampilkan aksi cukup baik selepas dimasukkan. Inilah kekuatan yang ada pada pasukan kami,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga gembira dengan kebijaksanaan ditunjukkan barisan pemain, terutamanya pada bahagian serangan ketika berdepan benteng pertahanan Roma yang dibarisi lima pemain.
“Napoli bermain mengikut kesesuaian permainan. Apabila berdepan pasukan yang meletakkan lima pemain di bahagian pertahanan, kami perlu bijak untuk cari jalan bagaimana untuk menembusinya dan itulah yang dilakukan pemain-pemain saya,” ujar Spalletti. – AGENSI