fbpx

JLand bakal lancar lebih 1,000 unit kediaman baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lukisan grafik projek kediaman yang dilancarkan oleh JLand pada tahun ini.

JOHOR BAHRU –  Syarikat hartanah, Johor Land Bhd (JLand) bakal melancarkan lebih 1,000 unit hartanah baharu di bandar raya ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM649.6 juta tahun ini.

Pengarah Bertanggungjawab JLand, Zamri Yusof berkata, projek tersebut melibatkan sebanyak 725 unit kediaman bernilai RM502.8 juta yang akan dilancarkan di Bandar Dato Onn, Johor Bahru manakala 188 unit (RM88.6 juta) di Bandar Tiram dan 120 unit (RM65.5 juta) di Taman Mutiara Gading, Batu Pahat.

Menurut beliau, bagi membuka lembaran baharu tahun ini, pihaknya menawarkan hartanah kediaman inovatif dan lestari dengan pelancaran 156 unit rumah teres dua tingkat di Fasa 2, Perjiranan 8, Bandar Dato Onn, Johor Bahru dengan GDV RM112 juta.

“Harga yang ditawarkan bermula daripada RM656,200 untuk lot Bumiputera jenis Areca 1 (saiz tanah 20’x70′) manakala Canna 1 dan 2 (saiz tanah 24’x70′) masing-masing ditawarkan pada harga RM772,480 dan RM780,130. 

“Kami percaya kediaman yang dibina ini menepati piawaian yang bakal memberi manfaat kepada penghuninya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Zamri menjelaskan, projek Perjiranan 8Bandar Dato Onn adalah pembangunan bercampur dengan menawarkan unit kediaman dan lot  komersial yang dibangunkan atas tanah seluas hampir 25 hektar  dengan nilai GDV lebih RM500 juta.

“Pembangunan itu meliputi empat fasa,  yang mana Fasa 1 mempunyai 200 unit rumah kediaman teres dua tingkat yang telah dilancarkan pada September 2021 dan sudah habis dijual.

“Ia terletak di lokasi strategik berhampiran AEON Mall Bandar Dato Onn, pusat komersial Perjiranan 4 dan hab makanan Tebing yang akan menjadikan pembangunan ini sebagai destinasi pilihan pembeli.

“Selain itu, kedudukan strategik Bandar Dato Onn di tengah kepesatan pembangunan Wilayah Iskandar Malaysia serta infrastruktur dan persekitaran mampan, turut mewujudkan ekosistem yang sihat yang mampu memenuhi keperluan ekonomi dan kehendak budaya masyarakat yang merangkumi gaya hidup, bekerja, bermain dan juga pelaburan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI