fbpx

Dulu ajuk suara, kini jadi karier Ida Rahayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IDA RAHAYU

SIRI animasi Ejen Ali musim ketiga berjaya memenangi anugerah bagi kategori Program Animasi 3D Terbaik di Asian Television Awards ke-27 di Singapura hujung tahun lalu.

Kemenangan tersebut sekali gus membuatkan Ejen Ali terus mendapat tempat di hati peminat terutama dalam kalangan kanak-kanak yang menyukai animasi setaraf Walt Disney dan Pixar Animation Studios.

Kejayaan yang dikecapi bukan hanya bersandarkan jalan cerita atau pembikinan animasi semata-mata.Paling penting harus disokong dengan pelakon suara yang menjadi tulang belakang kepada sesebuah karakter.

Mula mengajuk suara kartun dalam komik secara suka-suka tetapi tuah buat pelakon suara Ida Rahayu apabila berjaya menjadikan hobinya semasa kecil sebagai kerjaya.

“Dari kecil saya suka tengok kartun dan mengajuk watak karakter. Waktu itu tidak tahu boleh jadikan satu kerjaya.

“Masa kecil juga saya dan adik sering membaca komik Doraemon. Kami memainkan watak masing-masing.

“Kami ajuk cara karakter dalam kartun animasi tersebut dan rekod suara menggunakan pita perakam,” katanya dalam satu sesi temu bual baru-baru ini.

SELAIN Ejen Ali, Ida pernah melibatkan diri dalam siri Upin dan Ipin dengan memegang watak sebagai Fizi.

Sebelum ini, Ida, 41, merupakan bekas kakitangan di syarikat Les’ Copaque Production dan pernah memegang jawatan Ketua Papan Cerita.

Secara tidak langsung, dia menyertai uji bakat apabila syarikat tersebut mencari pelakon suara.

Pada akhirnya, pemilik nama lengkap Ida Rahayu Yusoff itu tidak sangka dapat memegang watak utama dalam siri animasi Ejen Ali yang harus menunjukkan contoh baik kepada kanak-kanak.

“Tidak sangka dapat tawaran menjadi watak utama dalam Ejen Ali tetapi pada masa sama gementar kerana pegang satu tanggungjawab yang besar.

“Ada juga yang mengikuti media sosial saya dan melihat perkembangan saya melalui aplikasi tersebut.

“Jadi perkara tersebut sedikit sebanyak memberikan tekanan buat saya kerana budak-budak akan tengok dan ikut apa yang saya lakukan,” jelasnya.

PENGLIBATAN Ida terjadi secara tiba-tiba selepas mengikuti uji bakat pencarian pelakon suara yang dibuka oleh syarikatnya.

Bercerita lanjut, Ida mengakui dia menghadapi cabaran tersendiri walaupun hanya menyumbang suara dalam beberapa siri animasi.

“Selepas menjadi pelakon suara, saya tidak mengambil sebarang kelas untuk memperbaiki skil.

“Saya cuma belajar menerusi YouTube kerana di situ banyak video tutorial atau demonstrasi untuk menjadi pelakon suara,” kongsinya.

Bahkan, sewaktu awal penglibatannya, dia berdepan masalah untuk mengekalkan suara karakter memandangkan dia memegang watak lelaki.

“Masa awal-awal penglibatan, susah untuk mengekalkan suara watak Ali memandangkan saya perempuan.

“Akan ada lenggok suara keperempuanan semasa rakaman dan pengarah suara akan tegur supaya saya sedar.

“Sekarang apabila masuk studio untuk rakam suara, saya sudah membuat persediaan dan menggunakan kata kunci seperti ‘abang, nasi lemak satu’ untuk mengingati lenggok suara Ali,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI