SEPANG- Kerajaan berhasrat menyasarkan supaya setiap keluarga Muslim mempunyai kemahiran sulh sebagai bentuk penyelesaian pertikaian atau konflik secara damai.
Perkara tersebut dibayangkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dalam usaha memperluaskan toleransi berkenaan.
“Saya berpandangan bahawa kemahiran sulh juga boleh dikembangkan lagi kepada pemerkasaan keupayaan masjid, masyarakat setempat dan institusi keluarga Islam.
“Langkah berkenaan sebenarnya boleh diperluaskan lagi dengan menggalakkan ‘Satu Keluarga Satu Mediator’ diwujudkan bagi menjayakan sasaran sebegini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Kemahiran Sulh Mediasi dan Pelancaran Skuad Sulh di Pusat Konvensyen Movenpick di sini hari ini.
Sulh merupakan kaedah penyelesaian konflik secara damai yang diamalkan ajaran Islam lebih 1,400 tahun dahulu dengan mengutamakan pendekatan lestari dalam masyarakat. – KOSMO! ONLINE