ALOR SETAR – Biarpun menderita kanser payudara, namun Mariana Akib, 45, tetap cekal dalam menjaga suaminya yang lumpuh sebelah badan serta dua adik orang kelainan upaya (OKU).
Mariana yang juga peniaga kuih memberitahu, dia menderita penyakit pembunuh utama wanita itu sejak dua tahun lalu dan telah menjalani pembedahan membuang salah satu payudara pada September tahun lepas.
“Saya baru selesai menjalani enam sesi kemoterapi di Hospital Lama Alor Setar dan perlu meneruskan rawatan radiografi di Hospital Pulau Pinang pada bulan depan.
“Rawatan kemoterapi sebelum ini mengakibatkan saya jadi lemah dan badan kurus tetapi saya kena kuat demi keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perkampungan Nelayan di Kuala Kedah di sini.
Katanya, meskipun dalam keadaan begitu, dia ibarat tulang belakang keluarga memandangkan suami, Jefri Ayob, 54, lumpuh sebelah badan akibat strok sejak empat tahun lalu.
“Selain itu, saya juga perlu menjaga bapa, Akib Mat, 77, yang uzur serta dua adik, Amar Efendie, 37, dan Faizul, 31, yang merupakan OKU,” ujarnya yang merupakan ibu kepada tiga anak.
Menurutnya, perbelanjaan dia sekeluarga sebelum ini bergantung kepada suaminya yang bekerja sebagai nelayan.
“Sekarang kami hilang mata pencarian menyebabkan saya mencari duit belanja dengan buat kuih-muih untuk dijual, dapatlah antara RM10 hingga RM20 sehari. Suami pula baru nak boleh berjalan,” jelasnya.
Katanya, ketika ini dia sekeluarga yang tinggal di rumah pusaka bapa menjalani kehidupan secara ala kadar.
Luah Mariana, dia kini berasa susah hati memikirkan pengangkutan untuk menjalani rawatan radiografi di Pulau Pinang.
“Pulau Pinang jauh, kami tidak ada kereta dan mungkin perlu menyewa. Sebelum ini saya pergi ke hospital naik motosikal dengan anak sulung.
“Rasa macam tidak mahu buat (radioterapi) tetapi terpaksa juga kerana saya harus bertarung sampai bebas daripada kanser ini,” tambahnya.
Mariana menambah, dia bernasib baik kerana anak sulungnya yang sudah berkahwin turut menetap di situ untuk membantunya menguruskan kerja-kerja rumah.
“Alhamdulillah Amar (adik) dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500 sebulan tetapi itulah, setiap bulan kena usung dia ke bank untuk keluarkan duit sebab pakai cap jari dia.
“Memang susah kerana kami perlu upah orang bawa ke bank. Saya cuma berharap dipermudahkan urusan dia sebab susah mahu usung Amar ke sana sini,” katanya.
Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh berbuat demikian dengan menghulurkan sumbangan kepada Mariana di akaun BSN miliknya, 0210 0411 0005 0464.